Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia yang menyertai satu majlis forum bersama penulis Utusan Malaysia , Astora Jabat, digantung pengajian selama 18 bulan atau tiga semester.

Hal Ehwal Pelajar UUM hari memberitahu malaysiakini bahawa bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar universiti itu, Mohd Rizal Mohd @ Anan, dituduh "menjatuhkan nama baik pelajar dan maruah universiti."

Pelajar tahun akhir jurusan perakaunan itu digantung pengajian mulai semester sesi November 1999/2000 dalam surat bertarikh 14 Mac lalu. Surat itu dikeluarkan oleh setiausaha pihak berkuasa tatatertib pelajar dan juga Penolong Pendaftar HEP, Ahmad Mujahid Abd Ghani.

Rizal sebelum ini pernah digantung selama satu semester atas tuduhan terlibat dalam politik ketika pilihan raya kecil kawasan Arau pada 1998. Beliau bersama lima orang lagi pelajar dituduh mengedarkan risalah politik. Pilihan raya itu di kawasan kubu kuat Umno itu dimenangi oleh calon PAS, Hashim Jasin, mengalahkan adik Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Dalam majlis forum 'Dialog Agama Bersama Astora Jabat' yang diadakan pada 11 Februari lalu, wartawan akhbar itu dikatakan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang kontroversi mengenai Islam. Beberapa peserta forum itu termasuk seorang kakitangan akademik UUM memberikan pandangan balas.

Bagaimanapun, hanya Rizal yang dikenakan tindakan tatatertib.

Menurut sumber pelajar UUM, dalam majlis itu, Rizal didakwa berkata, "Astora Jabat gagal membezakan antara yang hak (benar) dan batil (salah) sedangkan pelajar UUM yang cetek pengetahuan agama dapat membezakannya."

Bekas Timbalan Yang Dipertua MPP itu juga didakwa mempersoalkan tujuan sebenar MPP menjemput penulis yang kontroversi itu dan "boleh menyelewengkan pemikiran dan (aqidah) pegangan umat Islam serta kerap mengkritik para ulama."

Ekoran pandangan beberapa peserta forum tersebut, Astora Jabat menulis dalam kolumnya yang dikatakan memalukan pihak universiti. Bagaimanapun, menurut sumber pelajar, tulisan Astora itu tidak menyebutkan pandangan Rizal secara khusus.

Selepas itu, Naib Canselor UUM, Datuk Profesor Dr. Mohammad Noor Hj. Salleh, mengarahkan unit keselamatan universiti itu menjalankan soal-siasat ke atas Rizal. Bagaimanapun, menurut sumber, dokumen yang memanggil pelajar itu untuk soal siasat tidak dikeluarkan.

Unit Keselamatan merampas kad pelajar dan slip peperiksaan Rizal dan beliau dinafikan daripada mengambil peperiksaan akhir semester lalu.

Sekarang, universiti itu sedang bercuti.