Hospital tiada halangan pendakwa bertemu pesakit
Kementerian Kesihatan tidak pernah mengenakan sebarang sekatan atau halangan kepada badan-badan dakwah termasuk dari bukan Islam untuk berjumpa pesakit untuk urusan berkaitan ibadah dan agama semasa berada di hospital, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin bagaimanapun berkata belum ada perancangan daripada pihak hospital untuk membenarkan mana-mana badan dakwah itu untuk mewujudkan pusat mereka di dalam hospital.
"Kita bimbang ia mengganggu operasi harian hospital. Kita benarkan ia sekiranya ia dibuat di luar hospital.
"Dari segi amalan dan kunjungan kita tiada masalah untuk membenarkan mana-mana badan dakwah agama sekalipun atau sukarelawan untuk bertemu pesakit," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohd Hatta Md Ramli (PAS-Kuala Krai).
Dalam soalan asal, Mohd Hatta meminta kementerian menyatakan apakah bentuk latihan kepada kakitangan untuk perkhidmatan sokongan kepada pesakit mengerjakan ibadah semasa di hospital.
Rosnah berkata kebanyakan hospital kerajaan dan swasta di negara ini menerapkan konsep mesra ibadah dan menempatkan pegawai hal ehwal agama bagi memberi nasihat dan kaunseling kepada pesakit.
Kursus dan latihan berskala juga disediakan kepada petugas hospital selain bantuan dan rujukan dari badan bukan kerajaan dan pengurusan masjid, katanya.
"Contohnya solat, azan, kamat kepada bayi baru lahir dan sebagainya. Ini fungsi pegawai hal ehwal agama. Mereka menjadi rujukan untuk kaunseling dan khidmat nasihat termasuk isu forensik seperti perebutan jenazah.
"Nasihat kepada ibu muda tentang anak tidak sah juga dilaksanakan," katanya.
- Bernama

