Kementerian Pertahanan telah menyerahkan semua dokumen pembelian Rapid Intervention Vehicle (RIV) yang dibuat pada 2007 kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan penuh, tiga minggu lepas.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sekiranya siasatan SPRM mendapati wujud penyelewengan dan mereka terbabit dihadapkan ke mahkamah, Kementerian Pertahanan tidak akan melindungi mereka.

NONE "Tetapi jika siasatan SPRM mendapati tidak ada kes penyelewengan maka perkara itu hendaklah dijelaskan kepada umum supaya tidak ada penganiayaaan dan tuduhan dilakukan terhadap pegawai-pegawai," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan program Nadwah Ilmiah (NAIM) pegawai kanan tentera, awam dan agensi beruniform 2012 anjuran Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (Kagat) di Seremban hari ini.

Sultan Johor Sultan Ibrahim baru-baru ini melahirkan rasa dukacita kerana kelengkapan ketenteraan itu yang dibekalkan kepada Kor Gerak Khas bukan sahaja tidak mencukupi tetapi juga tidak bermutu dan tidak menepati spesifikasi.

Program NAIM selama empat hari itu melibatkan 34 orang pegawai kanan ATM, kakitangan awam Wisma Pertahanan, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Penjara.

Bertemakan 'Mukmin Profesional Aset Pemangkin Transformasi Organisasi', antara objektif NAIM ialah membina kepimpinan Ulul Albab berasaskan ajaran Islam yang holistik kepada para peserta.

Turut hadir ialah Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Ketua Staf Markas Tentera Darat Mej Jen Datuk Mohd Noor Daud.

-Bernama