Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wakil rakyat PAS didesak bentang usul hudud

Persatuan Mukabuku Pulau Pinang mendesak wakil rakyat PAS Datuk Mohd Salleh Man membentangkan usul pelaksanaan hukum hudud pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula hari ini.

    

Pengerusinya Salleh Ismail berkata pihaknya juga mahu Mohd Salleh yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) berjuang untuk memastikan usul hukum hudud diluluskan pada persidangan berkenaan.

    

"Hari ini kita menghantar memorandum kepada beliau (Mohd Salleh) supaya usul hudud ini dikemukakan pada persidangan kali ini dan berharap ia diluluskan serta dilaksanakan dengan segera di Pulau Pinang.

    

"Kita nak tengok sama ada wakil-wakil rakyat DAP dalam DUN betul-betul ikhlas berjuang bersama Pas," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum berkenaan di luar DUN Pulau Pinang hari ini.

    

Memorandum itu diterima sendiri Mohd Salleh yang juga ADUN Permatang Pasir selepas kira-kira 30 minit Salleh dan beberapa anggota Persatuan Mukabuku menunggunya di luar pagar.

Sementara itu, Salleh berkata pihaknya kecewa dengan sikap kerajaan negeri yang menghalang beliau dan anggota persatuannya masuk ke perkarangan DUN untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

    

"Kita bukan datang untuk buat demonstrasi tetapi hadir secara baik untuk serahkan memorandum, tetapi tidak dibenarkan dan kedua-dua pintu pagar turut dikunci.

    

"Semasa pemerintahan BN (Barisan Nasional), kedua-dua pintu pagar berkenaan tidak pernah ditutup dan orang awam dibenarkan masuk selepas mendapatkan pas keselamatan," katanya.

- Bernama

ADS