Setiausaha agung DAP Lim Guan Eng berkata perdana menteri sepatutnya tampil mempertahankan sistem penguatkuasaan automatik (AES) dan bukannya bergantung kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk memberi penjelasan.

Katanya, perdana menteri perlu berbuat demikian memandangkan parti GERAKAN dan Pemuda Umno sendiri menentang pelaksanaan sistem kontroversi itu.

"DAP kecewa dengan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak kerana enggan menggantung (pelaksanaan) AES tetapi sebaliknya minta Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha untuk menjelaskan kenapa kamera 1Malaysia ini diperdagangkan kepada dua syarikat swasta," katanya.

Lim turut membandingkan sistem AES itu dengan Agenda Ekonomi Saksama Pakatan Rakyat di Pulau Pinang yang bertujuan untuk membanteras kemiskinan.

"BN memasang kamera 1Malaysia tanpa tender terbuka yang memanfaatkan syarikat-syarikat kroni tertentu melalui komisyen untuk setiap saman yang dikeluarkan.

"AES PR Pulau Pinang (sebaliknya) akan menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri pertama di Malaysia untuk mencapai taraf bebas kemiskinan menjelang tahun 2013.

"(Ini) menonjolkan pendekatan dasar yang berbeza dalam pembangunan ekonomi," katanya lagi dalam kenyataan itu.