Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim akan bertemu Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) petang ini bagi membincangkan mengenai aduan Nurul Izzah Anwar kepada jabatan tersebut berhubung satu kenyataan naib presiden PKR itu.

Khalid berkata pertemuan itu akan diadakan petang ini bersama Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Abdul Rani Osman.

"Petang ini pengarah Jais akan ada pertemuan dengan saya dan Dr Rani. Sebelum ini JAIS ada perjumpaan dengan Nurul Izzah," kata Khalid ringkas.

Khalid berkata demikian menjawab soalan pemberita pada sidang media selepas mesyuarat Exco di pejabat setiausaha kerajaan negeri di Shah Alam hari ini.

Nurul Izzah pada 9 November lalu membuat laporan kepada JAIS terhadap Utusan Malaysia , dengan dakwaan bahawa akhbar milik Umno itu memutarbelit kenyataannya dalam satu forum bertarikh 3 November.

Beliau juga pada 5 November lalu turut menafikan bahawa kenyataannya di forum tersebut menggalakkan umat Islam murtad.

Dalam forum bertajuk "Islamic State: Which version? Whose responsibility?" itu, beliau dilapor berkata tiada seorang pun boleh dipaksa untuk menerima ajaran agama tertentu dan perkara itu juga terpakai untuk orang Melayu.

Kenyataannya itu dilaporkan Utusan Malaysia pada 5 November dengan tajuk “Melayu bebas pilih agama?".

ADS