Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan S'gor ingatkan jangan campuraduk agama dengan politik

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan supaya Islam tidak dicampuradukkan dengan politik kerana ia boleh mengeliru dan memecahbelahkan masyarakat Melayu.

Baginda bertitah, kebelakangan ini kesucian Islam dinodai apabila hukum-hakam agama dan tafsiran Al-Quran telah sewenang-wenangnya menjadi modal politik bagi meraih sokongan.

    

Kekeliruan timbul apabila orang yang tidak berilmu atau orang tidak layak mentafsir ayat-ayat Al-Quran melakukan tafsiran mengikut fahaman dan kehendak masing-masing yang tidak menepati makna yang sebenarnya, titah baginda di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1434 Peringkat Negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam malam tadi.

    

"Ayat-ayat Al-Quran bukanlah seperti sepotong sajak yang boleh ditafsirkan mengikut selera dan fahaman sendiri," titah baginda.

Justeru, baginda menyeru supaya orang Melayu bersatu padu, membantu antara satu sama lain dan mengeratkan silaturahim sesama Islam serta mempertahankan Islam.

    

"Beta tidak rela orang Melayu meninggalkan Islam yang maha suci ini, sebaliknya beta mahukan orang Melayu mempertahankan kesucian agama Islam ini dengan kekuatan dan kebijaksanaan seperti yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW, para sahabat, para mujahid dan pemimpin-pemimpin Islam terdahulu," titah baginda.  

    

Sultan Sharafuddin bertitah jika orang Melayu dengan sewenang-wenangnya menukar agama atau murtad, maka pepatah Melayu lama `Tidak Melayu hilang di dunia' tidak boleh digunapakai lagi kerana bangsa Melayu akan lenyap dari muka bumi ini.

    

"Pemimpin-pemimpin Melayu dahulu yang bijaksana telah mendefinasikan dengan jelas ciri orang Melayu sebagaimana dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu mereka hendaklah mengamalkan budaya Melayu, bertutur Bahasa Melayu dan beragama Islam.

    

"Jika satu daripada perkara di atas tidak diamalkan oleh seseorang, maka ia bukanlah ditafsirkan atau dianggap sebagai orang Melayu," titah baginda.

    

Sultan Sharafuddin bertitah sebagai Ketua Agama Islam dan pelindung kepada kepentingan serta hak-hak orang Melayu di Selangor, baginda bertanggungjawab sepenuhnya pada setiap masa untuk menentukan bahawa agama Islam yang suci dan kepentingan orang Melayu terpelihara dan dijaga dengan sempurna.

    

Sultan Sharafuddin turut bertitah sudah tiba masanya umat Islam khususnya orang Melayu di Selangor supaya berwaspada dan menilai semula kedudukan mereka supaya tidak terpengaruh dengan hasutan dan dakyah oleh pemikiran bebas, liberalisme atau pluralisme yang boleh merosakkan akidah seseorang dan seterusnya boleh menjadi syirik terhadap Allah.

    

Di majlis itu, baginda berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah Selangor 1434/2012 kepada Hakim Rayuan Syarie Persekutuan Datuk Johdi Toha, yang menerima wang tunai RM20,000, sijil penghargaan, trofi, sepersalinan pakaian dan pakej mengerjakan umrah.  

    

Johdi, 65, yang ditemui para wartawan berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah yang beliau sifatkan sebagai istimewa kerana kontraknya sebagai Hakim Rayuan Syarie Persekutuan tamat esok.

Anugerah Pertubuhan/Badan Dakwah Sukarela Selangor dimenangi oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Selangor; Anugerah Tokoh Saudara Kita pensyarah Universiti Putra Malaysia Prof Taufiq Yap Yun Hin; Tokoh Aktivis Masyarakat Setiausaha PERKIM Selangor Harun Hasan.

    

Tokoh Keluarga Mithali dianugerahkan kepada pasangan Mohd Yaakop Zakaria, ahli perniagaan dan isterinya, Rusnah Jamali seorang guru.   

Baginda turut menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Tengku Idris Shah kepada 12 pelajar cemerlang sekolah rendah dan menengah.

- Bernama

ADS