Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pelajar Malaysia di Indonesia mengecam kejadian rogol dan penderaan terhadap tenaga kerja Indonesia oleh individu tidak bertanggungjawab di Malaysia dan berharap mereka dikenakan hukuman berat.

Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) yang kesal dengan kejadian itu turut berharap rakyat Indonesia, khususnya mahasiswa dan generasi mudanya, tidak melihat kes berkenaan sebagai gambaran sikap seluruh rakyat Malaysia.

"Kes pemerkosaan dan penderaan sememangnya perbuatan yang tidak berperikemanusiaan dan perlu dikecam oleh semua pihak sama ada ia melibatkan warganegara Malaysia mahupun warganegara asing," kata Yang Dipertua PKPMI Ahmad Nabieh Abqory Rahmat di Jakarta, Jumaat.

Ahmad Nabieh turut menggesa pihak berkuasa di Malaysia agar menyelesaikan segera siasatan dan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

Persatuan itu mengulas dua kes rogol dengan satu daripadanya turut membabitkan penderaan, yang dilapor berlaku ke atas dua wanita Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Satu kes dilapor membabitkan tiga anggota polis, manakala satu lagi melibatkan orang awam yang juga majikan kepada wanita Indonesia terbabit.

"Perbuatan yang didakwa dilakukan oleh anggota polis itu terutamanya, adalah amat dikesalkan kerana polis merupakan institusi penguat kuasa undang-undang dan pelayan masyarakat, yang seharusnya bersikap melindungi masyarakat," katanya.

Mahasiswa Malaysia di Indonesia, katanya berharap hubungan baik antara rakyat Malaysia dan Indonesia tidak terjejas akibat perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab itu.

"Kami berharap di masa akan datang, hubungan yang lebih erat akan terjalin antara masyarakat di Indonesia dan Malaysia, terutama di kalangan generasi muda dan mahasiswa," katanya.

- Bernama

ADS