Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM: Pemimpin BN tak gentar berdepan mana-mana tokoh dalam PRU

Pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak  gentar untuk berhadapan dengan mana-mana tokoh atau calon pada pilihan raya umum kerana pengundi yang menjadi penentu tentang kesesuaian tokoh di kawasan mereka, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Umno itu berkata Umno dan BN bukan bersikap takbur tetapi bersifat "gentlemen" memandangkan dalam demokrasi sesiapa sahaja warga Malaysia boleh bertanding di mana-mana kawasan yang disukai.

Mengulas laporan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz  dicadang bertanding di kawasan Parlimen Pagoh yang kini disandang beliau,  Muhyiddin berkata cabaran itu akan disahut sekiranya ia berlaku.

"Lagi ramai lagi meriah," katanya pada wartawan Malaysia pada akhir lawatan  sembilan harinya ke Australia di Gold Coast hari ini.

    

Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilaporkan berhasrat bertanding di Parlimen Pekan, yang kini disandang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

    

Muhyiddin berkata tidak ada yang luar biasa tentang strategi tokoh pemimpin tertentu mahu mencabar pemimpin BN dalam pilihan raya.

"Kita dalam BN tidak akan gentar hadapi sesiapa sahaja, baik tokoh-tokoh dikenali atau tidak berhadapan dengan kita di Parlimen atau negeri , harap rakyat akan beri penilaian terbaik," katanya.

Mengulas laporan PAS mengadakan solat hajat dan berdoa Umno dihancurkan  ketika umat Islam di seluruh dunia mengutuk kekejaman rejim Israel dan mendoakan keamanan serta keselamatan rakyat Palestin, Muhyiddin berkata ia bukan amalan yang baik.

    

Beliau berkata orang Islam sepatutnya berdoa supaya penganut seagama mendapat hidayah dan kebaikan.

Beliau berkata Umno tidak pernah mendoakan PAS dijahanamkan.

    

"Kita dididik dengan betul, apa yang dipohon, sesuatu itu perlulah bersandar hukum syariah," katanya.

    

Beliau berkata masyarakat Islam mungkin berbeza pertubuhan politik tetapi  apabila umat Islam berhadapan dengan cabaran yang besar seperti apabila  Israel menyerang Gaza, seluruh dunia Islam merasa terseksa dan simpati.

"Kita tidak tanya sama ada umat di sana (Gaza) sokong Umno atau sokong PAS. Sebagai seorang umat (Islam), kita hendak umat Islam hidup dalam keadaan  baik.

"Perbezaan politik atau parti berbeza tidak mengapa. Kita di Malaysia mengamalkan Ahli Sunnah Wal Jamaah. Dalam Umno ada, PAS pun ada.

"Kalau seorang yang mendoakan menjahanamkan, itu bukan Islam sejati," katanya lagi.

    

Dilaporkan doa dalam solat hajat di Stadium Muhamad Ke-IV sempena Muktamar Tahunan PAS Ke-58 di Kota Baharu itu antara lain memohon Allah SWT menjahanamkan Umno dan BN seperti Allah memusnahkan Firaun, Qarun, Namrud serta Abu Lahab.

    

Mengulas laporan Ketua Pemuda Umno Perlis Mohsin Yusoff, yang menyatakan hasrat untuk meletak jawatan menerusi laman sosial 'Facebook' (FB),  Muhyiddin berkata beliau mendapat laporan bahawa Mohsin telah menarik balik keputusan itu.

    

"Saya dengar dia tarik balik. Baiklah begitu," katanya.

    

Muhyiddin menasihatkan anggota parti agar bersabar dan rasional serta memberi  keutamaan kepada parti ketika berhadapan dengan cabaran dalam politik.

    

"Kita hendak hadapi pilihan raya, kalau ada perubahan-perubahan sebegini ia boleh membawa kesan negatif.

    

"Seorang berhenti... (orang lain) kena mengambil alih menjalan tugas, sudah  menjejaskan jentera kita dan menimbulkan masalah dalam parti. Hal-hal begini kena elak," katanya.

    

- Bernama

ADS