Melayu lebih kedepan daripada Umno: Musa
Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Musa Hitam, menganggap parti utama kerajaan, Umno, tidak berjaya memahami perubahan orang Melayu yang lebih kedepan daripada parti itu dan kegagalannya itu menyebabkan kekalahan terburuk Umno dalam pilihan raya umum lalu. Kejayaan Umno, katanya lagi, pada masa silam bergantung kepada keupayaannya memimpin orang Melayu tetapi kini beliau bimbang "Umno ketinggalan beberapa langkah di belakang."
"Pemilihan parti Mei ini harus dilihat dalam konteks pilihan raya umum lalu," kata Musa dalam satu wawancara dengan akhbar The Star semalam, apabila ditanya kepentingan perubahan dalam pucuk pimpinan Umno bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.
Umno akan mengadakan pemilihan agung pada Mei ini. Mesyuarat agung tahunan di peringkat bahagian-bahagian bermula minggu pertama bulan depan untuk melantik perwakilan ke pemilihan itu yang menyaksikan persaingan sengit. Banyak pihak dalam Umno menyalahkan Presidennya Dr. Mahathir Mohamed, sebagai punca kemerosotan pengaruh parti Melayu itu.
Ketua Perhubungan Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, dijangkakan akan bertanding sekurang-kurangnya di peringkat timbalan presiden. Lebih separuh ahli Umno dipercayai menyokong langkah Ku Li mencabar Mahathir. Bagaimanapun, Ku Li kini dilihat menghadapi masalah untuk mendapatkan 50 pencalonan daripada 165 bahagian kerana tidak ramai ketua bahagian bersedia menunjukkan pertentangan secara terbuka terhadap presiden yang sangat berkuasa itu.
Muka-muka baru dijangkakan akan muncul selepas peristiwa besar yang menggegarkan Umno ekoran pemecatan seorang pemimpinnya yang berkarisma, Anwar Ibrahim, yang kini dijatuhkan penjara selama enam tahun atas kesalahan rasuah. Anwar bagaimanapun sentiasa mendakwa beliau menjadi mangsa konspirasi politik bekas mentornya, Mahathir.
"Tidak pernah berlaku sebelum ini, pengaruh Umno sebagai satu pangkalan kuasa Melayu, terhakis sebegitu serius. Tidak pernah berlaku sebuah parti Melayu bergantung pada parti-parti lain [dalam komponen Barisan Nasional] untuk berkuasa," kata Musa lagi, mengulas prestasi Umno dalam pilihan raya umum lalu.
Musa menyalahkan pemimpin tinggi Umno kini yang tidak bersedia mendengar pandangan dan kritikan ahli-ahli akar umbi - yang juga mewakili hasrat umum orang Melayu - walaupun dalam pemilihan agung parti kerana "takut malu". Sifat kepemimpinan mereka yang "terlalu berkuasa" pula menjadikan perwakilan-perwakilan tidak bersedia mengkritik dengan ikhlas tetapi "bercakap dengan gaya mengkritik" untuk mendapatkan perhatian.
Menurut Musa, budaya politik Umno sudah sampai ke peringkat serius apabila mereka yang berjaya memegang jawatan akan menghapuskan lawannya yang tewas. Pemenang, katanya, akan memastikan "lawannya itu 'mati' dan mereka yang tewas akan hilang segala-galanya."
Pandangan Musa ini dipercayai merujuk pengalaman peribadinya bersama Ku Li dalam 'Team B' yang mencabar Dr. Mahathir, yang waktu itu bersama Ghafar Baba, Sanusi Junid, Daim Zainuddin dan Anwar Ibrahim. Ku Li dan ramai lagi pemimpin kanan Umno tidak dibenarkan menyertai parti itu yang didaftarkan semula apabila ia diharamkan beberapa bulan selepas pemilihan agung 1987.
Pandangan bekas orang nombor dua Umno ini tidaklah baru tetapi sebagai seorang pemimpin yang 'masih berani' berterus terang dalam budaya bisu Umno, idea Musa ini yang diterbitkan dalam wawancara sebanyak dua siri dalam The Star mulai semalam sentiasa menjadi buruan pengamat politik untuk mengetahui perkembangan arus terkini dalam Umno .

