Kementerian Pendidikan berkata pihaknya tidak bersedia campur tangan dalam urusan universiti apabila ditanya tindakan tatatertib ke atas pelajar yang kini dianggap semakin keras dan tidak wajar.

"Kementerian tidak perlu campur tangan kerana pihak universiti boleh menggunakan peruntukan dalam akta universiti," kata Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Hon Choon Kim kepada malaysiakini di lobi Dewan Rakyat hari ini.

Semalam, malaysiakini melaporkan seorang aktivis pelajar Universiti Utara Malaysia, Mohd Rizal Mohd @ Anan, digantung pengajian 18 bulan selepas didapati bersalah menegur penulis Utusan Malaysia , Astora Jabat, dalam satu majlis forum di UUM.

Universiti itu menuduh bekas pemimpin Majlis Perwakilan Pelajar itu "menjatuhkan nama baik pelajar dan maruah universiti" selepas Astora membangkitkan isu dalam tulisannya pada 18 Februari lalu.

Hon bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui butir terperinci kes tersebut dan memerlukan kajian lanjut.

Bulan lalu, Universiti Teknologi Malaysia memberikan surat tunjuk sebab kepada tiga orang pelajar yang menghantar memorandum berhubung pengajuran ekspo budaya di universiti itu.

Sementara Isnin lalu, seorang aktivis pelajar, Ahmad Zaki Yamani Zainon, membatalkan niatnya untuk menyaman Universiti Teknologi Mara selepas instutusi pendidikan Bumiputera itu memecatnya Mei tahun lalu.

Sementara seorang lagi timbalan menteri, Datuk Abdul Aziz Samsuddin, hari ini dilaporkan berkata pentadbiran universiti "patut berasa malu" dan "perlu mengambil tindakan" terhadap pelajar yang berkempen dalam pilihan raya kecil Sanggang, Pahang.

Dalam perkembangan berkaitan, Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), mengkritik tindakan UUM menggantung Rizal dan menyifatkan tindakan itu sebagai "membalas dendam"

Jurucakap Dema, Tan Chiaw Wei, berkata Akta Universiti dan Kolej Universiti semakin mudah diperalatkan untuk menekan kegiatan pelajar.

"Kongkongan (akta) ini nampaknya merebak dari satu kampus ke satu kampus yang lain," katanya lagi, merujuk beberapa kes tindakan tatatertib yang semakin kerap digunakan terhadap pemimpin pelajar.