Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Barisan Nasional (BN) akan berusaha habis-habisan untuk mempertahankan Sabah pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kota Kinabalu hari ini.

    

Beliau berkata ada pihak tersalah faham dengan menyifatkan Sabah sebagai 'deposit tetap' BN, sedangkan sebenarnya negeri ini sama pentingnya dengan negeri lain.

    

"Sabah sangat penting bagi kita (BN). Kita tidak boleh kehilangan Sabah. Kita perlu pertahankannya dengan sedaya upaya," katanya di majlis sarapan pagi dengan anggota Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) dan veteran Umno di sini. Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

    

Muhyiddin melahirkan harapan agar Mubarak akan terus memainkan peranannya untuk membantu kerajaan BN melaksanakan dasar dan program pembangunan dengan sering turun padang untuk merapatkan lagi hubungan dengan rakyat, terutama di peringkat akar umbi.

    

"Walaupun sekarang anda (anggota Mubarak) ada banyak masa untuk bersama keluarga, tapi saya percaya ingin terus berkhidmat kepada rakyat dengan sedapat mungkin dan kerajaan menghargai serta mengucapkan terima kasih atas usaha murni anda ini.

"Saya yakin anda terus mengikuti perkembangan politik semasa dan bimbang jika berlaku sesuatu yang tidak diingini. BN sudah berkhidmat kepada rakyat selama lebih 50 tahun dan rakyat semakin meyakini kita. Oleh itu, kita tidak boleh menghampakan mereka sekarang," katanya.

    

Muhyiddin juga mengingatkan Mubarak bahawa kini rakyat meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan berikutan kemajuan teknologi komunikasi maklumat.

"Ada orang yang menjanjikan bulan dan bintang. Mubarak boleh memainkan peranannya dalam menangkis pembohongan dan janji kosong itu agar ia tidak memberi kesan negatif terhadap rakyat.

    

"Kita sedar kita dipilih oleh rakyat. Oleh itu, sambil mengajak rakyat menghakimi kita, kita juga perlu pastikan kita memberi yang terbaik kepada mereka agar mereka terus menyokong kita dan memberi kemenangan kepada kita pada pilihan raya kelak," katanya.

Sementara itu, ketika berucap di majlis perjumpaan bersama rakyat di padang pekan Kuala Penyu, Sabah hari ini, Muhyiddin berkata BN bertekad untuk mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort dalam pilihan raya umum ke-13 berikutan tindakan penyandangnya yang meletak semua jawatan dalam Umno dan menyatakan sokongan kepada pakatan pembangkang.

    

Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN berkata Parlimen Beaufort yang diwakili Datuk Seri Lajim Ukin pada pilihan raya umum 2008 harus kekal di pangkuan parti itu berdasarkan komitmen dan kesungguhan kerajaan membangunkan kawasan itu selama ini.

    

"Kerusi BN di sini bukan lagi BN. Dia (Lajim) bukan lagi bersama BN... yang mustahak kembalikan semula kerusi ini kepada kerusi BN, kita ambil semula tidak kira Lajim bertanding atau tidak, kita tawan semula," katanya

Majlis yang dimeriahkan oleh lebih 8,000 rakyat pelbagai lapisan masyarakat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Azizah Mohd Dun, pemangku Pengerusi Umno Beaufort Isnin Aliasneh dan Adun Kuala Penyu John Teo Mau Sing.

    

Muhyiddin berkata BN secara hakikatnya sentiasa kukuh dan tidak tergugat dengan apa yang berlaku, termasuk tindakan Lajim yang menubuhkan pertubuhan bersifat menyokong pembangkang.

    

Beliau berkata rakyat Sabah khususnya di kawasan Beaufort harus bijak menilai kepimpinan yang boleh menjamin kemajuan berterusan setelah wakil rakyat yang dipilih mereka atas tiket BN bertukar haluan.

    

"Tiada gunanya kita bersedih. Biarlah dia pergi... yang penting bukan dia, tapi yang penting nasib saudara dan masa depan saudara," katanya.

Muhyiddin turut melontarkan persoalan kepada penduduk kawasan itu mengenai kedudukan sebenar asas perjuangan Lajim sama ada beliau dapat membawa peruntukan besar bagi pembangunan di daerah itu tanpa bersama kerajaan.

    

Beliau berkata rakyat harus percaya kerajaan negeri mahupun persekutuan berupaya melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara ini jika diberi kepercayaan sekali lagi dalam pilihan raya umum akan datang.

"Banyak orang tanya saya... bila pilihan raya umum Tan Sri, sebab kami tidak sabar keluar mengundi untuk BN. Kenapa tidak, sebab perjuangan BN itu panjang sejak Merdeka 1957.

    

"Malaysia sudah menjadi sebuah negara yang dihormati dan disegani, kecil saja dalam global seperti cili padi (dalam peta), tetapi dalam tempoh beberapa tahun kita berusaha menyelesaikan banyak masalah pokok termasuk kadar kemiskinan nasional di tahap tiga peratus dan Sabah dulu 70 peratus sekarang saya rasa

kurang 10 peratus," katanya.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berjaya mencipta pelbagai kejayaan dalam program transformasi yang meningkatkan peluang pekerjaan dalam pelbagai industri dan sektor lain berkembang maju.

    

Di majlis itu, Muhyiddin turut mengumumkan peruntukan RM2 juta bagi pelbagai projek kecil di daerah itu dan merasmikan pemasangan paip baru bernilai RM49 juta dari Limbawang ke Kayul.

    

- Bernama

ADS