Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

DUN Selangor  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali hari ini menasihatkan Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar supaya tidak "ghairah" memutarbelit fakta semata-mata kerana mahu menjadi menteri besar Selangor.

Katanya, dakwaan Noh mengenai Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ingin menjual aset dan saham kepada bukan bumiputera, merupakan satu dakwaan untuk memancing undi orang Melayu menjelang pilihan raya umum.

NONE "Dalam keghairahan Noh Omar (kanan) nak jadi menteri besar, jangan putar belit fakta dengan membuat dakwaan seperti ini.

"Berhubung dakwaan Noh Omar dan hulubalang Umno terhadap PKNS yang saya kira melampau, saya berani katakan ini serangan untuk memancing undi orang Melayu menjelang pilihan raya umum akan datang," katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2013 di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini.

Sabtu lalu, Noh mempersoalkan rancangan Worldwide Holdings Berhad- anak syarikat PKNS untuk menjual syer bernilai RM150 juta kepada sebuah syarikat bukan bumiputera.

Noh mendakwa syarikat yang ditubuhkan pada 21 Mac lepas itu sebelum ini mempunyai dua pengarah bukan Bumiputera yang juga merupakan pemegang saham tetapi berdasarkan carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dua individu itu telah meletak jawatan sebagai pengarah pada 22 Mei tetapi mereka masih kekal sebagai pemegang saham.

Sehubungan itu, menjawab dakwaan tersebut, Azmin berkata, sebagai ahli lembaga pengarah PKNS, beliau tidak pernah dirujuk atau berbincang tentang cadangan untuk menjual sebarang aset perbadanan milik negeri itu.

Beliau turut berkata, syarikat yang ditubuhkan pada 21 Mac seperti didakwa Noh pula adalah bertujuan bagi memastikan kesemua aset milik PKNS yang bernilai RM4.5 bilion agar dapat berdaya saing.

"Saya nak tegaskan kita tak ada rancangan pun kononnya Wordwide Holding nak menjual kepada mana-mana pihak. Saya juga nak tegaskan Worldwide Holding masih kekal milik penuh PKNS," kata Azmin.

"Nilai aset semasa PKNS ada RM4.5 bilion. Sudah tentu ia menuntut kepada sebuah pengurusan yang lebih progresif dan tidak menggunakan mekanisme cara lama.

"Apa kita nak buat sekarang ialah satu usaha dan inisiatif korporat dengan menubuhkan syarikat milik penuh PKNS. Masih milik penuh PKNS. Namanya PKNS Private Real Estate Company Sdn Bhd (PREC). Syarikat ini bertujuan untuk memastikan aset-aset PKNS yang komersial ini berdaya saing," kata Azmin lagi.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita ketika sidang dewan berehat, Azmin berkata, penubuhan PREC telah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Katanya lagi, kelulusan tersebut telah diberi pada 12 September lalu.

"Kementerian Kewangan telahpun membenarkan PKNS untuk menubuhkan satu anak syarikat yang bernama PKNS Real Estate Company (PREC).

"Nak tubuh PREC, kita mesti mendapatkan kelulusan Kementerian Kewangan dan Kementerian Kewangan telahpun memberi kelulusan pada 12 September 2012. PKNS dan PREC ini milikan penuh Bumiputra. Jadi di mana tuduhan Noh Omar dan juga Umno bahawa kita menjual kepentingan orang Melayu kepada bukan Melayu? Itu tuduhan yang jahat," katanya.

Sementara itu, ketika membahaskan belanjawan negeri hari ini, ADUN Kuang dari BN, Abdul Shukur Idrus mempersoalkan kewujudan PREC sebagai sebuah syarikat yang menguruskan aset-aset bagi PKNS.

Selain itu, beliau mendakwa, PKNS kini dalam usaha untuk menjual lima asetnya iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, Wisma Yayasan, Kompleks PKNS Bangi, Menara PKNS Petaling Jaya dan SACC Mall, Shah Alam yang bernilai RM32 juta. 

Menurutnya, usaha untuk menjual lima aset tersebut berlaku selepas perjanjian antara PKNS dan Amanah Raya Real Estate Investment Trust Fund (ARREIT) gagal.

Abdul Shukur yang juga ketua penerangan Umno itu juga berkata, beliau difahamkan proses penjualan aset tersebut akan diberi kepada syarikat lain dan bukan kepada PREC.

"Syarikat mana sebenarnya yang akan membeli dan menguruskan aset-aset tersebut. Siapakah lembaga pengarah dan berapa banyakkah modal berbayar?

"Adakah pengurusan induk PKNS tidak cekap sedangkan berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pengurusan hartanah," katanya.

"Kita mendapat maklumat bahawa semua rancangan, perjanjian, semua dah siap. Hanya menunggu ditandatangani. Hari ini barangkali selepas kita bangkitkan mungkin perkara ini tak taulah sama ada nak diteruskan atau dihentikan," kata Abdul Shukur.

Ditanya sama ada beliau mempunyai maklumat berhubung dakwaannya itu, Abdul Shukur berkata: "Kita ada maklumat. Kita boleh bagi nanti." 

ADS