Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Fail projek balak di Papua New Guinea dengan SPRM
Diterbitkan:  Nov 22, 2012 5:24 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

DUN KEDAH Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini diberitahu separuh fail mengenai projek pembalakan dan perladangan di Papua New Guinea telah diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan.

    

Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Datuk Amiruddin Hamzah berkata  kerajaan negeri bersedia membawa ke muka pengadilan jika terbukti berlaku penyelewengan oleh Kedah Corporation Berhad (Kedah Corp) yang bertanggungjawab menguruskan projek itu.

    

"Untuk tindakan selanjutnya kita akan tunggu keputusan daripada SPRM, jika disabit, kita akan dakwa sesiapa sahaja yang terlibat," katanya semasa menjawab soalan Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (BN-Guar Chempedak) pada persidangan DUN itu hari ini.

    

Ku Abdul Rahman meminta penjelasan mengenai tindakan yang diambil terhadap beberapa buah syarikat milik kerajaan negeri seperti Kedah Corp yang tidak diurus tadbir dengan baik sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM13.49 juta dalam projek di Papua New Guinea itu.

    

Laporan Audit Negara 2011 menyatakan Kedah Corp membuat pinjaman luar dari sebuah bank sebanyak RM135 juta bagi membiayai projek berkenaan dan terdapat pembayaran muhibah kepada vendor bagi kerja-kerja yang dilakukan di Papua New Guinea seperti meneroka tanah, melobi menteri dan tuan tanah.

    

Sementara itu Dr Leong Yong Kong (BN-Gurun) dalam soalan tambahannya bertanya tentang bagaimana kerajaan negeri dapat membetulkan penyelewengan yang telah berlaku di kalangan pegawai.

    

Dr Leong berkata sebelum memenangi pilihan raya umum yang lalu, pakatan pembangkang sering menyatakan pendirian akan menghapuskan gejala rasuah sekiranya mereka dipilih menjadi pemimpin.

    

Amiruddin kemudiannya menegaskan SPRM masih menjalankan siasatan dan masih belum ada sesiapa yang telah dibuktikan bersalah atau melakukan penyelewengan seperti yang didakwa.

    

"Sekiranya ada bukti rasuah, kita akan minta SPRM dakwa kes ini tanpa berselindung," katanya.   

- Bernama

ADS