Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cinta tiga segi disyaki punca pasangan kekasih dibunuh

Cinta tiga segi disyaki menjadi punca pasangan kekasih kaum Madura, Indonesia ditemui mati dibunuh di sebuah rumah di kawasan perumahan Kampung Changkat, Gombak, dekat ibunegara hari ini.

    

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supt Rosly Hassan berkata polis mengesyaki suami kepada wanita pasangan kekasih itu telah menyerang kedua-dua mereka dengan sebatang kayu dalam kejadian antara 3 dan 4 pagi.

"Mangsa lelaki dikenali sebagai Kusnul manakala polis belum mengenali identiti mangsa wanita dan kedua mereka berumur dalam lingkungan 30-an," katanya kepada pemberita di tempat kejadian hari ini.

    

Siasatan awal polis mendapati mayat lelaki itu ditemui di bahagian dapur manakala mayat wanita berkenaan ditemui di dalam salah satu bilik dalam rumah itu dan tiada kesan pecah masuk.    

    

Kedua-dua mayat itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat dan polis sedang memburu suami wanita itu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    

Sementara itu menurut jiran mangsa, yang mahu dikenali sebagai Zainal berkata beliau sebelum ini mengenali kedua-dua mangsa sejak tahun lepas dan mangsa wanita itu mendakwa lelaki yang tinggal bersamanya adalah saudaranya.

    

"Saya pernah bertemu dengan suami wanita itu dan saya tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu memberitahu mereka ada pertalian saudara untuk tinggal sekali.

"Beberapa hari lepas saya ada lihat kelibat suami mangsa yang datang ke rumah itu tetapi saya tidak mendengar sebarang pertengkaran," katanya.

    

- Bernama

ADS