Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang ibu bersama dua anak perempuannya rentung dalam kebakaran membabitkan sebuah kedai peralatan dan perkakasan di bandar Beluran malam tadi.

    

Mayat Siti Jainah Ajak, 39, bersama dua anak perempuannya Siti Aznizah Hussin, sembilan tahun, dan Siti Azikah Hussin, tiga tahun, ditemui dalam keadaan berpelukan di bilik mandi tingkat atas kedai itu, tempat keluarga itu tinggal, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Jemishin Ujin.

    

Mereka terperangkap di rumah kedai itu yang dipasang dengan jeriji besi dan api yang bermula dari tingkat bawah merebak dengan cepat dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu.

    

Suami mangsa yang juga pemilik kedai itu, Hussin Ismail bersama seorang lagi anak mangsa, Mohd Aznizam, 11, tidak berada di rumah semasa kebakaran.

Jemishin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.01 malam dan menghantar sebuah jentera bomba bersama empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan.

    

Katanya mereka tiba di lokasi kejadian pada pukul 9.59 malam tetapi api sudah merebak di tingkat bawah dan atas kedai tersebut.

    

Menurutnya dua kenderaan pelbagai guna bersama enam lagi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan turut dihantar ke lokasi kejadian.

    

Beliau berkata api dipadamkan sepenuhnya pada 12.58 pagi dan pemeriksaan di tingkat atas kedai tersebut menemui tiga mayat yang rentung terbakar di bilik mandi.

    

Jemishin berkata mayat ibu bersama dua anak perempuannya itu kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat.

Katanya dua lagi premis terletak bersebelahan membabitkan sebuah restoran dan Pejabat Parlimen Beluran hanya mengalami sedikit kerosakan.

 

Menurutnya punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan.

    

- Bernama

ADS