Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Kugan: Polis tak sembunyi apa-apa, kata Khalid

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa polis tidak menyembunyikan apa-apa dalam siasatan kes kematian A Kugan dengan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

   

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata beliau telah menyatakan perkara tersebut kepada pegawai penyiasat dalam kes itu.

    

Khalid, 55, berkata demikian menerusi pernyataan saksi yang dikemukakan ke mahkamah dan ketika kematian itu berlaku pada 20 Jan 2009 beliau merupakan Ketua Polis Selangor.

    

Beliau berkata hukuman penjara selama tiga tahun yang dijatuhkan ke atas V Navindran oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 11 Jun lepas kerana mencederakan Kugan, juga memberi gambaran bahawa Polis Diraja Malaysia dan pihak kerajaan tidak akan bertanggungjawab di atas tindakan peribadi yang menyalahi tugasan rasmi anggota polis.

    

Khalid berkata kenyataan ibu Kugan, N Indra bahawa polis gagal memastikan keselamatan Kugan juga adalah tidak berasas dan beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan orang ramai atau palsu.

    

Menurutnya beliau membuat kenyataan Kugan meninggal dunia disebabkan 'pulmonary oedema' (cecair dalam paru-paru) adalah berdasarkan laporan daripada Dr Abd Karim Tajudin bertarikh 21 Januari 2009 yang diperoleh daripada pegawai penyiasat.

    

Khalid juga menyatakan bahawa beliau telah mengeluarkan kenyataan (mengenai kematian Kugan) sebanyak dua kali tetapi ia bukannya kenyataan palsu.

    

Pada 13 Januari lalu, Indra memfailkan saman dengan menamakan Khalid sebagai defendan pertama, bekas anggota polis V Navindran (yang didapati bersalah mengakibatkan kecederaan kepada Kugan) sebagai defendan kedua, diikuti bekas Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar, Ketua Polis Negara dan kerajaan.

    

Dalam pernyataan tuntutannya, Indra mendakwa kesemua defendan gagal memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan anaknya semasa dia dalam tahanan polis dari 14 hingga 20 Januari 2009.

    

Ketika ditahan, Kugan berusia 23 tahun dan merupakan suspek kes curi kereta mewah.

    

Hakim Datuk V T Singham menetapkan esok untuk menyambung perbicaraan.

- Bernama

ADS