Pengarang Wasilah dan juga penulis buku politik, Ahmad Lutfi Othman, meletakkan jawatan dalam sidang pengarang majalah itu mulai esok. Keputusan yang tiba-tiba ini dipercayai daripada tekanan yang diperolehinya selepas permit sebuah lagi majalah yang diusahakannya, Detik , gagal diperbaharui.

Bekas Ketua Pengarang majalah proreformasi itu yang diharamkan minggu lalu berkata keputusan itu diambil agar tidak menyusahkan rakan-rakan beliau yang memegang permit majalah yang diterbitkannya.

Permit dua majalah itu dimiliki oleh pihak lain dan Lutfi memberitahu malaysiakini awal minggu ini bahawa apabila permitnya tamat Ogos depan, Wasilah mungkin akan mengalami nasib yang sama dengan Detik .

Menurut penulis yang prolifik itu, sumber dalam Kementerian Dalam Negeri memberitahu bahawa beliau menjadi "faktor utama tindakan itu (mengharamkan Detik ) diambil."

"Saya sendiri dikatakan mempunyai 'rekod hitam' sepanjang berurusan dengan KDN," kata Lutfi dalam satu kenyataannya kepada malaysiakini hari ini.

Ketika bertugas sebagai wartawan akhbar PAS, Harakah , beliau pernah ditahan di bawah ISA pada tahun 1989 kerana menulis tentang demonstrasi pelajar di Universiti Malaya.

Beliau berkata rumahnya pernah digeledah pegawai polis dari Ibupejabat Polis Persekutuan Bukit Aman kerana disyaki menyimpan bahan-bahan antikerajaan.

"Syarikat percetakan saya diugut polis hanya kerana mencetak 'buku-buku politik Lutfi'. Buku-buku politik saya tentang pemecatan Anwar dirampas hanya kerana kesalahan kecil tidak meletakkan nama syarikat percetakan," kata Lutfi.

Tiga tahun lalu, dalam satu pertemuan antara lebih 200 pengamal media di negara ini dengan pegawai-pegawai bahagian penerbitan KDN, Lutfi pernah mengkritik dasar kementerian secara terbuka.

Lutfi mendakwa kritikannya itu tidak disenangi kementerian.

"Walaupun saya berangan-angan besar bagi mengembalikan kebebasan akhbar di negara ini, namun saya tidak mahu pula membebankan teman-teman saya yang mempunyai permit penerbitan," kata Lutfi lagi.

Sebelum ini beliau pernah menerajui, Tamadun , sebuah lagi majalah bulanan yang diberikan amaran oleh KDN pada Oktober lalu.

Bekas aktivis pelajar Universiti Teknologi Malaysia yang dipecat itu memulakan kerjaya kewartawanan pada 1987 bersama Harakah dan meninggalkan tabloid itu pada 1993 untuk menceburi bidang perniagaan.