Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kepimpinan Umno hari ini dicadang supaya menubuhkan Majlis Ulama Umno dalam usaha memperjuangkan kepentingan agama Islam di negara ini.

Ketika membahaskan usul agama dan pendidikan pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno di Kuala Lumpur, Mohd Shaharuddin Mohd Hassan Tajuddin dari Umno Bahagian Tanjong, Pulau Pinang berkata ulama yang menganggotai majlis berkenaan hendaklah diberi jawatan setaraf dengan naib presiden atau ketua sayap parti.

Katanya cadangan itu bertujuan memastikan Umno benar-benar 'istiqamah' untuk memelihara kemuliaan agama Islam daripada diserang fahaman pluralisme atau liberalisme.

Mohd Shaharuddin berkata masalah perpaduan ummah dapat ditangani dengan pertambahan ikon agama di insitusi pendidikan negara yang berfungsi sebagai penyebar maklumat tepat mengenai perjuangan Islam yang dibawa oleh Umno.

"Kita juga mencadangkan supaya diwujudkan Madrasah 1Malaysia yang ditadbir secara mutlak oleh Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perdana Menteri. Modus operandinya mestilah menekankan pembelajaran al-Quran dan asas agama Islam," katanya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan penyeragaman tanah wakaf dengan menubuhkan Yayasan Tanah Wakaf 1Malaysia serta mempraktikkan perubatan mukjizat al-Quran sebagai perubatan altenatif di hospital kerajaan.

Mengenai situasi umat Islam di Pulau Pinang, beliau berkata kerajaan pembangkang di negeri itu sering menggunakan pendekatan berdakwah untuk menyebarkan fitnah politik mengenai Umno dan BN.

"Hari ini sekiranya tuan-tuan pergi ke Pulau Pinang dan menunaikan solat Jumaat, khatib yang membaca khutbah ala ceramah politik, kerja mereka hanya menghentam Umno dan BN," katanya.

Beliau juga bimbang dengan masa depan umat Islam di bawah kepimpinan kerajaan itu kerana mereka dipercayai mempunyai agenda untuk memecah-belah umat Islam.

Katanya insiden kerajaan negeri membatalkan perarakan Maulidur Rasul pada Februari 2010 serta larangan menggunakan pembesar suara bagi bacaan al-Quran menimbulkan kesedihan di kalangan umat Islam di negeri berkenaan.

- Bernama

ADS