Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Banjir kilat landa 4 keluarga lima kali dalam seminggu

Dua puluh penduduk daripada empat keluarga di Kampung Kolon di sini terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit setelah rumah mereka dilanda banjir kilat lima kali berturut-turut dalam tempoh seminggu setiap kali hujan lebat.

    

Kejadian kira-kira jam 6 petang semalam berlaku dipercayai berpunca daripada longkang di jalan utama Pokok Sena-Alor Setar yang agak sempit menyebabkan air akan melimpah ke kawasan rumah yang rendah setiap kali hujan lebat.

    

Hamsi Darus, 35, berkata rumah mereka terletak agak rendah dari jalan utama menyebabkan banjir kilat berlaku dengan cepat sehingga tidak sempat untuk  menyelamatkan harta benda di dalam rumah.

"Kalau hujan lebih satu jam rumah kami akan banjir... Kira-kira empat jam baru nak surut sampai peralatan elektrik, perabot dan peralatan lain rosak dan tak dapat nak selamatkan sebab air deras," katanya ketika ditemui di tempat kejadian petang semalam.

    

Katanya sejak seminggu lepas adalah banjir kilat yang paling teruk apabila mereka terpaksa menghadapinya lima kali berturut-turut sehingga terpaksa tidur dalam keadaan rumah yang digenangi air banjir.

Halimah Husin, 76, berkata kali terakhir rumahnya dilanda banjir 30 tahun lepas dan paras air hanya 0.5 meter sahaja dan kejadian tersebut berulang sejak seminggu lepas dan bertambah teruk apabila paras air meningkat lebih 1 meter.

Katanya dia dan ahli keluarga lain turut mengambil inisiatif dengan membina benteng tanah untuk menghalang air daripada melimpah masuk ke rumahnya baru-baru ini namun usaha tersebut sia-sia apabila rumahnya turut dilanda banjir.

    

Halimah berharap agar pihak bertanggungjawab melakukan sesuatu bagi membolehkan masalah banjir kilat tidak akan berulang demi keselesaan penduduk di kawasan tersebut.

    

"Setiap kali bajir kami nak kena kemaskan rumah dan mencuci peralatan yang boleh digunakan. Bukan senang jika kita basuh rumah tiba-tiba banjir landa rumah lagi," katanya.

    

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Kolon, Tajudin Said berkata beliau telah membuat laporan mengenai perkara tersebut kepada Jabatan Kerja Raya(JKR) negeri namun

tiada tindakan diambil untuk mendalamkan longkang di kawasan tersebut.

    

Beliau berkata masalah banjir kilat yang dihadapi empat keluarga tersebut akan selesai jika longkang di jalan utama tersebut diperluaskan agar air hujan dapat melimpah dengan lancar ke sungai berhampiran.

    

- Bernama

    
ADS