Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tok Mun simpan hasrat tanding lagi dalam p'raya

Mungkin masih ramai mengingati Maimun Yusof atau 'Tok Mun', warga emas yang mencabar jagoan PAS Mohamad Sabu dan calon BN (Allahyarham) Datuk Razali Ismail bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada pilihan raya umum 2008.

Sekalipun tewas dan hilang deposit pada pilihan raya umum itu, nenek berusia 93 tahun ini menyimpan hasrat untuk bertanding sekali lagi pada pilihan raya umum ke-13 yang bakal diadakan bila-bila masa.

Maimun Yusof nenek calon bebas 04 "Kalau Tok menang, Tok nak jaga hati rakyat yang menyokong Tok. Orang-orang susah, Tok nak bagi rumah kepada mereka," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Jalan Panji Alam di Kuala Terengganu.

Beliau bagaimanapun sedar hasratnya untuk bertanding sekali lagi mungkin sukar menjadi kenyataan kerana faktor kewangan selain tiada siapa mahu menjadi pencadang dan penyokongnya.

Pada pilihan raya umum 2008, Maimun yang menjadi calon tertua, mengaku kepada media beliau mengeluarkan simpanan Tabung Haji untuk membayar deposit bagi melayakkannya bertanding.

Beliau cuba bertanding pada empat pilihan raya umum sebelum itu namun ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya kerana tidak memenuhi syarat.

Mengulas lanjut, Maimun juga berpandangan beliau mungkin sukar untuk menang jika hasratnya bertanding lagi menjadi realiti, kerana "penyokong Umno dan BN semakin ramai".

Maimun Yusof nenek calon bebas 02 Dilahirkan pada 1919, Maimun yang tinggal di sebuah rumah usang bersama beberapa orang cucu, jelas masih kuat dan sihat dengan deria penglihatan dan pendengaran yang baik.

Pada pilihan raya umum 2008, Maimun hanya memperolehi 685 undi. Kerusi parlimen itu dimenangi Razali dengan 32,562 undi, sementara Mohamad menerima 31,934 undi.

Bagaimanapun, pada pilihan raya kecil yang diadakan pada Januari 2009 susulan kematian Razali, Maimun memutuskan untuk tidak bertanding kerana faktor kewangan.

Kerusi itu dimenangi calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi mengatasi calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon Bebas Azharudin Mamat @ Adam meraih hanya 193 undi.

-Bernama

ADS