Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JPJ sudah jangka vandalisme pada kamera AES
Diterbitkan:  Dec 9, 2012 1:31 PM
Dikemaskini: 5:43 AM

Ketua pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Datuk Solah Mat Hassan berkata jabatan itu sudah menjangkakan tindakan vandalisme ke atas unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) seperti yang berlaku di dua lokasi di Selangor.

"Ada yang puas hati dan ada yang tidak puas hati itu sudah kita jangka dan ini juga berlaku di  negara lain," katanya seperti dipetik Bernama hari ini.

Laporan akhbar hari ini menyebut, dua kamera AES, masing-masing di Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Lebuh Raya Utara Selatan mengalami masalah rakaman kerana disembur dengan cat.

Laporan yang memetik sumber polis menyebut, perbuatan vandalisme itu dsyaki dilakukan pada awal pagi memandangkan kedua-dua kamera didapati gagal mengesan kesalahan sejak jam 2.15 pagi.

Solah dalam laporan Bernama bagaimanapun berkata, JPJ kekal dengan keputusannya untuk melaksanakan AES walau ditentang sesetengan pihak.

"Rancangan pelaksanaan AES tidak akan ditangguh dan ia akan diteruskan kerana ia adalah satu usaha  murni dan bukan untuk menghukum pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata buat masa ini, tujuh kamera AES kini dipasang di Perak, dua di Selangor serta lima di Kuala Lumpur dan Putrajaya, selain empat unit bergerak AES.

Menurutnya kadar kesalahan trafik di  beberapa lokasi strategik berjaya dikurangkan 75 peratus sejak pelaksanaan AES 23 September lalu.

ADS