Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini diberitahu bahawa projek penyaluran air Mentah dari Pahang ke Selangor yang dalam proses pembinaan kini telah 66 peratus siap.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kemudahan Asas dan Pengangkutan Datuk Mohd Soffi Abdul Razak berkata perkembangan projek itu sentiasa dipantau pejabat Menteri Besar Pahang dan yakin ia disiapkan mengikut jadual.

Katanya perkembangan terkini projek berkenaan ialah pembinaan terowong penyaluran air dan kerja berkaitan yang telah hampir selesai.

"Namun, ia tidak dapat berfungsi sekiranya projek Loji Langat 2 tidak disiapkan.

"Untuk makluman, projek berkenaan di Pahang dilaksanakan dengan pembiayaan oleh kerajaan pusat dan institusi kewangan Jepun manakala pembinaan Loji Langat 2 pula dibiayai sepenuhnya kerajaan pusat," katanya.

Beliau menjawab soalan Chang Hong Seong (BN-Teruntum) yang ingin tahu mengenai status projek berkenaan pada persidangan Dewan Undangan Negeri, di Kuantan hari ini.

Mohd Soffi bagaimana pun berkata sehingga kini, kerajaan Selangor yang ditadbir pihak pembangkang masih berdolak dalik dalam isu berkenaan.

Sementara itu, menjawab soalan Choong Siew Onn (DAP-Tras) berkaitan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Soffi berkata KTMB telah membina parit besar yang berkeluasan lebar 1.5 meter dan kedalaman 1.8 meter di kiri dan kanan landasan keretapi bagi mengelak berlaku kemalangan.

"KTMB juga memasang pagar berbentuk penghalang dengan menggunakan rel landasan pada paras pinggang untuk menghalang penceroboh memasuki kawasan landasan di lintasan haram," katanya.

Choong ingin tahu langkah kerajaan negeri mengatasi masalah lintasan rata haram di kawasan landasan kereta api dan jumlah kemalangan di landasan kereta api di negeri ini.

Mohd Soffi berkata selain itu program kesedaran keselamatan kereta api di kampung-kampung dan sekolah berhampiran dengan landasan turut diadakan dan jejantas juga dibina di kawasan yang berisiko tinggi berlaku kemalangan.

Mengikut rekod, katanya, terdapat dua kemalangan yang berlaku di kawasan lintasan rata haram di Pahang bagi tempoh 2007 hingga Oktober 2012.

-Bernama

ADS