IMF jangka prospek ekonomi M'sia stabil
Prospek ekonomi Malaysia dijangka kekal stabil tahun depan, dengan disokong oleh penggunaan domestik dan pelaburan yang kukuh, kata wakil Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Rodrigo Cubero.
"Kami menjangkakan permintaan domestik yang kukuh di Malaysia tahun depan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah bertajuk "Ekonomi Global dan Asia Pasifik: Prospek dan Risiko" di Universiti Malaya di Kuala Lumpur semalam.
Kerajaan telah menegaskan bahawa Malaysia dijangka mencapai pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) setahun penuh sebanyak sekurang-kurangnya lima peratus atau lebih baik, sejajar dengan prestasi ekonomi yang positif dalam tiga suku pertama 2012.
Ekonomi berkembang sebanyak 5.2 peratus dalam suku ketiga 2012 yang dipacu oleh permintaan domestik meskipun permintaan luar negara semakin lembap.
Peningkatan permintaan domestik disokong oleh perbelanjaan sektor swasta manakala kelembapan ekonomi global telah menyebabkan penyederhanaan permintaan luar negara.
Ditanya tentang rakan dagang terbesar Malaysia, Cubero berkata China dijangka berkembang dengan teguh pada kadar pertumbuhan yang sangat tinggi dan ini akan memberi kesan kepada Malaysia.
"Sekarang China adalah peserta penting dalam ekonomi global dan Asia. China telah menyaksikan kelembapan pertumbuhan ekonominya tetapi tetap berkembang pada kadar yang sangat tinggi.
"Ia lembap dalam enam bulan pertama tahun ini tetapi sekarang semakin stabil," tegasnya.
Sebelum itu, dalam pembentangannya, Cubero berkata prospek ekonomi dunia berkemungkinan berada dalam lingkungan lemah dan tidak menentu dengan unjuran pertumbuhan KDNK sebanyak 3.6 peratus.
"Pemulihan beransur-ansur kukuh tetapi ada risiko menyusut yang besar," kata beliau.
Cabaran-cabaran global termasuklah krisis zon euro, pasaran-pasaran sedang muncul yang semakin lembap dan kesan pertumbuhan pelarasan fiskal dalam keadaan kewangan yang sukar, kata beliau.
- Bernama

