Mahathir pertahan lesen 4G untuk Syed Mokhtar
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mendapat lesen untuk mengusahakan jalur lebar 4G berdasarkan rekod pencapaian jutawan itu.
"Ya, dia mendapatnya kerana rekod pencapaian yang dia ada," kata Mahathir semasa menyampaikan ucaptama pada forum Masa Depan Tindakan Afirmatif di Putrajaya hari ini.
Mahathir juga menafikan bahawa penganugerahan lesen berkenaan merupakan amalan kronisme kerana individu yang mendapat kontrak semestinya akan berjaya.
"Jadi untuk elak kronisme kita mesti pastikan setiap orang Melayu itu gagal dan tidak berjaya dalam perniagaan? Jadi tidak adalah tuduhan kronisme?," kata Mahathir.
Ketika mengulas perkara itu semalam, Mahathir turut menyalahkan setiausaha publisiti DAP Tony Pua yang disifatkannya "berat sebelah" kerana menyerang Syed Mokhtar memandangkan syarikat lain juga memperolehi lesen tersebut.
Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, Mahathir berkata Syed Mokhtar berkebolehan dan tidak wajar didiskriminasikan.
"Kalau sudah dia (Syed Mokhtar) ada kebolehan, kita tidak boleh diskriminasi kepadanya. Kerana orang lain pun dapat.
"Orang lain yang sudah kaya daripada beliau pun dapat juga. Mengapa nak serang dia sahaja?," katanya seperti dipetik akhbar milik Umno itu hari ini.
Anugerah lesen berkenaan dipertikai DAP yang mendakwa, syarikat Syed Mokhtar, Puncak Semangat Sdn Bhd tiada pengalaman dalam industri telekomunikasi tetapi diberikan bahagian paling besar pada skala 40MHz untuk lesen jalur lebar tersebut.
Menurut DAP, tujuh syarikat jalur lebar sedia ada – Maxis Broadband Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Celcom Axiata Bhd, U Mobile Sdn Bhd, Redtone Marketing Sdn Bhd, YTL Communications and Packet One Networks (M) Sdn Bhd – sebaliknya dianugerahkan jalur lebar pada skala 20MHz.

