Seorang wakil kerajaan hari ini mengeluarkan perkataan "kurang ajar" kepada wakil-wakil pembangkang apabila mereka menggesa Dewan Rakyat membahaskan usul menimbang semula penggantungan seorang wakil DAP selama tiga hari.

Wakil Kota Melaka, Kerk Kim Hock digantung mulai dua hari lalu apabila beliau enggan mematuhi arahan Speaker Tun Mohamad Zahir Ismail agar diam dan duduk ketika membincangkan isu peruntukan RM50,000 kepada setiap wakil kerajaan.

"Saya rasa Yang Berhormat Tuan Pengerusi boleh menggunakan peraturan (mesyuarat) 42, 43 (dengan) muktamad. Suruh mereka (pembangkang) duduk. Kurang ajar nampaknya orang ini!" kata Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Perkataan itu telah menyebabkan dewan menjadi riuh rendah seketika apabila majoriti wakil pembangkang yang hadir pagi ini bangun mengkritiknya.

Mohamad Zahir kemudian meminta Abu Zahar (BN-Jasin) menarik balik perkataan yang kasar itu.

Abu Zahar seterusnya menggesa anggota dewan agar mendengar arahan Speaker dan berkata wakil-wakil pembangkang "tidak harus berlagak seolah-olah tidak dengar."

"Saya menarik balik perkataan ('kurang ajar') itu. Beradab sedikitlah dalam dewan dan ikutlah peraturan," katanya lagi.

Abu Zahar bertindak begitu selepas dua wakil DAP dan seorang wakil PAS terus menggesa Speaker membenarkan usul berhubung penggantungan Kerk dibahaskan.

'Cukup susah hati'

Chow Kon Yeow (DAP-Tanjong) sebelum itu bangun bagi mendapatkan penjelasan Speaker mengapa usul tersebut tidak disenaraikan untuk dibahaskan dalam sidang dewan pagi ini.

Semalam, Chow mengemukakan satu usul berbunyi "Dewan ini merakamkan rasa kesal dengan keputusan Speaker untuk menggantungkan wakil Kota Melaka selama tiga hari mulai 17 April."

"Bilakah usul ini akan disenaraikan dan sama ada masa akan diberikan untuk menimbangkan semula keputusan yang dibuat oleh Yang Dipertua (Mohamad Zahir) di bawah peraturan 44?" soal Chow.

Speaker tidak mengizinkan permintaan Chow itu dengan alasan usul-usul lain juga perlu dibincangkan jika usul wakil pembangkang itu dibenarkan. Wakil DAP itu menimbulkan isu berkenaan selepas tamat sesi soal-jawab selepas soalan kelapan pada sebelah pagi.

Dalam satu kenyataan akhbar, Mohamad Zahir berkata beliau "berasa cukup susah hati" apabila membaca laporan akhbar yang menyalahkan beliau apabila mengambil keputusan menggantungkan Setiausaha Agung DAP itu.

"Perbuatan (wakil-wakil) pembangkang (yang menuduhnya menyebelahi Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chan Kong Choy) membuat kenyataan yang tidak betul itu adalah satu perbuatan yang menghina Dewan. Lebih-lebih lagi apabila (mereka) menuduh Speaker menyebelahi mana-mana pihak," kata Mohamad Zahir petang tadi.