Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Makmal analisis halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang sedang dibina di Nilai akan mengukuhkan peranan Jakim dalam pensijilan halal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata makmal itu kelak akan menjadi pusat hentian setempat kepada industri penyelidikan dan pensijilan halal dunia, memandangkan segala keperluan dan rujukan pensijilan halal akan tertumpu di makmal itu.

Ia akan memberi faedah yang amat besar kepada ekonomi negara menerusi pensijilan halal Malaysia yang diiktiraf di seluruh dunia dan secara tidak langsung mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju utama pensijilan halal, katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah makmal itu di Bandar Enstek di Nilai.

"Maklumat dan analisis daripada makmal khusus dalam bidang halal ini akan diyakini dan tidak dipertikai oleh mana-mana pihak. Ini akan membantu Malaysia melahirkan pakar rujuk pensijilan halal dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju hab halal dunia," katanya.

Jamil Khir berkata buat masa ini tempoh masa memproses sijil halal Malaysia  adalah 30 hari, tapi dengan adanya makmal ini, tempoh sedia ada dijangkakan akan dapat dikurangkan.

Beliau berkata kos keseluruhan projek pembinaan makmal analisis halal itu ialah sebanyak RM56.7 juta dengan siling bagi tahun 2011 hingga 2013 sebanyak RM27.5 juta.

Katanya makmal itu merupakan fasa pertama daripada keseluruhan projek Institut Halal Malaysia yang dijangka boleh diduduki mulai Ogos 2014 dan dijangka beroperasi sepenuhnya mulai Januari 2015.

"Sepanjang tahun 2014, makmal ini akan menjalani ujian percubaan peralatan bagi memastikan kesediaan untuk menerima sampel bermula Januari 2015. Projek ini dibangunkan di kawasan seluas 18.4 hektar.

"Bangunan makmal ini akan terdiri daripada tiga seksyen makmal, dua unit pengurusan makmal dan bangunan sokongan dengan menggunakan elemen bangunan hijau' dan kaedah 'sistem binaan berindustri," kata Jamil Khir.

- Bernama

ADS