Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PM lancar program untuk kebajikan veteran tentera

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan Program Pengiktirafan Veteran 1Malaysia (1MVRP) yang menggariskan tujuh inisiatif bagi menjaga kebajikan dan memperkukuhkan tahap sosio-ekonomi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tujuh inisiatif berkenaan ialah Program Penempatan Kerja untuk Veteran; Program Bimbingan Usahawan Veteran; Program Meningkatkan Penerimaan Latihan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) oleh Industri; Kad Privilege 1Malaysia; Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia; Program Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia serta Program Membaikpulih dan Membina Rumah Veteran 1Malaysia.

Najib berkata 1MVRP adalah satu lagi produk 1Malaysia yang dilaksanakan di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Beliau berkata program berkenaan akan memberi manfaat kepada semua veteran tentera termasuk 243,500 veteran tentera yang tidak berpencen.

"Ia boleh dianggap sebagai satu lagi produk 1Malaysia yang bertujuan supaya setiap kelompok tidak kira latar belakang, wilayah atau komuniti mesti mendapat sentuhan, faedah dan pembelaan daripada kerajaan," katanya pada majlis pelancaran program itu di Kuala Kangsar.

Mengulas lanjut mengenai inisiatif berkenaan, Najib berkata melalui Program Penempatan Kerja untuk Veteran, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang terlibat akan menawarkan peluang pekerjaan kepada veteran ATM yang berminat.

Beliau berkata sebanyak 4,300 jawatan kosong dijangka ditawarkan oleh syarikat berkenaan khusus untuk veteran ATM.

Katanya bagi kumpulan yang berminat untuk melibatkan diri dalam bidang keusahawanan, latihan keusahawanan juga akan disediakan kepada mereka.

"Kerajaan memperuntukkan RM3.5 juta melalui inisiatif itu untuk diagihkan kepada veteran yang berminat dan dana ini akan diuruskan oleh Perhebat dan dikawalselia oleh Tekun Nasional," katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperluaskan Kad Privilege 1Malaysia yang diberikan kepada anggota tentera sebelum ini kepada veteran ATM.

"Sebagai sebuah kerajaan yang prihatin maka kerajaan ambil keputusan  keistimewaan ini akan turut diperluaskan kepada semua warga veteran ATM," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan veteran ATM mendapat akses kepada maklumat dan pertolongan yang diperlukan, kerajaan akan mewujudkan Pusat Sehenti Veteran 1Malaysia.

Najib berkata kem-kem tentera terpilih akan dijadikan pusat sehenti untuk mereka membuat rujukan dan pertanyaan.

Selain itu, beliau berkata Program Pembangunan Keluarga Veteran 1Malaysia diwujudkan untuk pembangunan sosio-ekonomi keluarga veteran ATM bagi membolehkan mereka menjana pendapatan yang lebih baik dan stabil.

Katanya program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui program 1Azam.

Perdana Menteri berkata bagi memastikan keselesaan hidup veteran ATM, kerajaan turut melaksanakan Program Membaikpulih dan Membina Rumah Veteran 1Malaysia.

Katanya sebanyak 49 rumah veteran ATM dibina atau dibaik pulih di seluruh negara tahun ini manakala 100 rumah disasarkan akan dibaik pulih atau dibina tahun depan.

Najib berkata pelancaran tujuh inisiatif berkenaan membuktikan keprihatinan dan pengiktirafan kerajaan terhadap warga veteran ATM yang telah berkorban memastikan keamanan negara.

"Saya hargai apa sahaja yang dilakukan oleh para veteran tentera. Apa sahaja yang dikecapi ketika ini atas  jasa, perjuangan dan bakti anggota tentera," katanya sambil menjelaskan bahawa kestabilan ekonomi Malaysia juga diperolehi hasil daripada pengorbanan anggota tentera yang memastikan keamanan negara.

Najib memberi jaminan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus menepati janji untuk memastikan kesejahteraan rakyat.

"Inilah yang saya katakan bahawa berbeza antara kerajaan dan pembangkang. Kalau kita janji kita tepati, tetapi pembangkang hanya janji kosong... BN bawa keamanan dan kestabilan, pembangkang bawa kesengsaraan dan huru hara, tidak sealiran dan kucar kacir," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS