Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rosmah mahu IPT proaktif hapus sikap memihak jantina

Universiti perlu lebih proaktif dalam menghapus sikap memihak jantina yang menghalang wanita di bidang akademik memegang peranan peneraju kanan, kata isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah

Mansor.

Beliau menarik perhatian sekalipun 60 peratus daripada enrolmen di universiti awam adalah wanita, hanya tiga naib-canselor di 20 universiti awam di negara ini adalah wanita.

NONE Rosmah berkata harus wujud penyertaan seimbang antara lelaki dan wanita dalam pengurusan kanan universiti.

"Universiti tidak lagi harus dilihat didominasi secara total oleh lelaki dan kelab lelaki," kata beliau dalam ucaptamanya di Bengkel Pembinaan Kapasiti Kepimpinan Antarabangsa bagi Tokoh-tokoh Akademik Wanita 2012 dihadiri kira-kira 200 peserta tempatan dan antarabangsa di ibu negara hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah.

Bengkel tiga hari itu dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Rosmah berkata ketidakseimbangan penyertaan jantina di peringkat pengurusan kanan berpotensi menjadi topik hangat pada masa depan, oleh itu isu seumpama itu perlu ditangani di peringkat awal.

"Satu daripada dapatan mengenai kurangnya penyertaan wanita dalam jawatan akademik kanan ialah sesetengah wanita lebih menyukai mentor wanita untuk penggal kepimpinan mereka.

"Dengan kurangnya wanita pada kedudukan sedemikian, jelas sekali akses mereka terhad," kata beliau.

Rosmah berkata, malahan sektor korporat mendapati bahawa imbangan jantina pada jawatan utama boleh membawa kepada pencapaian bisnes yang lebih baik.

"Jika kita tidak melaksanakan penyertaan seimbang jantina dalam pendidikan tinggi, bagaimana mungkin kita melaksanakan ini pada bahagian-bahagian lain masyarakat," ujar beliau.

-Bernama

ADS