Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Jenazah anggota militan rakyat Malaysia yang mati ditembak di Davao, Filipina Jumaat lalu selamat dikebumikan di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Abdul Rahman, Benut, Pontian pagi ini.

Jenazah Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, dikebumikan pada 7 pagi dalam keadaan hujan renyai dengan dihadiri hampir 100 anggota keluarga dan kenalan.

Terdahulu, jenazah allahyarham tiba di perkarangan Masjid Jamek Temenggong Daeng Abdul Rahman, pada 5.30 pagi setelah diterbangkan dari Davao, Filipina pada 9 malam tadi dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, pada 1 pagi.

Jenazah kemudian dibawa pulang dengan menaiki van jenazah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ke kampung halamannya di Kampung Parit Abdul Rahman dekat sini, untuk dikebumikan.

Suasana hiba dan sedih menyelubungi perkarangan masjid sebaik kenderaan membawa jenazah itu tiba.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan sebaik solat subuh dengan diketuai Imam III, Rahmat Roduan bersama lebih 100 jemaah.

Sementara itu, bapa allahyarham Abd Kahar Sirun, 53, turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Malaysia kerana menguruskan urusan membawa pulang jenazah anak sulung daripada empat beradik itu.

Dilaporkan sebelum ini bahawa Mohd Noor Fikrie ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel di Davao, Jumaat lalu selepas bergelut dengan pihak polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengingatkan rakyat bahawa tindakan merekrut dan mempengaruhi golongan tertentu untuk menyertai gerakan militan boleh dilakukan dalam pelbagai cara termasuk menerusi internet khususnya laman web atau blog.

"Rakyat Malaysia diingatkan sentiasa berwaspada dan mengambil tahu mengenai pergerakan ahli keluarga masing-masing agar mereka tidak terpengaruh dan terpedaya dengan mana-mana idealogi dan gerakan militan yang menyokong keganasan.

"Kita perlu mengambil pengajaran daripada kejadian yang telah menimpa Mohd Noor Fikrie Abd Kahar dan keluarganya agar ianya tidak berlaku ke atas individu yang kita sayangi," katanya dalam satu kenyataan.

-Bernama

ADS