Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat mendiang Dr Lim dibakar di Krematorium Cheras Rabu ini

Mayat mendiang Tun Dr Lim Keng Yaik akan dibakar di Krematorium Cheras di Kuala Lumpur pada hari Rabu, selepas diberi penghormatan negara, kata anaknya Datuk Lim Si Pin.

    

Upacara akan diadakan pada 11 pagi, selepas perarakan dari rumah mendiang di Tropicana Golf and Country Resort di sini.

    

Bercakap kepada pemberita di Petaling Jaya, Si Pin berkata mereka yang ingin memberikan penghormatan terakhir, boleh berbuat demikian mulai hari ini, sehingga Selasa bermula pagi sehingga 9 malam.

    

"Selepas 9 malam, kami berharap orang ramai dapat beredar kerana kami mengadakan sembahyang khas di rumah," katanya.

    

Keng Yaik, 73, meninggal dunia pada 5.13 petang semalam dan beliau meninggalkan isteri Toh Puan Wong Yoon Chuan dan tiga anak.

    

Sambil bergenang air mata, Si Pin berkata bapanya demam dan sakit sejak lebih setahun.

"Malah, minggu lepas, keluarga saya dan saya merancang mengadakan percutian keluarga di Hong Kong bersama kedua ibu bapa, tetapi bapa berkata beliau tidak mahu ikut kerana tidak mampu berjalan disebabkan kesakitan teruk pada kakinya,"

    

"Namun, mendiang memberitahu kami untuk membawa keluarga bercuti," katanya.

    

Si Pin berkata sejak dua hari lepas, bapanya dimasukkan ke Pusat Perubatan Tropicana berikutan kesukaran bernafas.

    

"Semalam, beliau menghubungi saya dan memaklumkan beliau sakit teruk dan meminta saya untuk segera pulang bersama keluarga," tambahnya.

    

Si Pin berkata, bapanya berhasrat untuk menghembuskan nafas terakhirnya di rumah dan beliau kemudian dikeluarkan dari hospital dan dibawa pulang.

Keng Yaik, yang merupakan menteri Kabinet selama 22 tahun menghembuskan nafas terakhir di sisi anggota keluarganya di bilik tidurnya.

    

Jawatan terakhir beliau dalam Kabinet ialah Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi dari 2004 hingga 2008.

    

Si Pin, yang juga Ketua Pemuda Gerakan turut melahirkan kebimbangan berhubung tiadanya pengganti bapanya sebagai Pro Canselor Universiti Terbuka Wawasan (WOU) di Pulau Pinang.

    

Katanya beliau tidak boleh menjadi pengganti memandangkan beliau tidak berada di dalam jawatankuasa.

    

Antara orang kenamaan yang melawat keluarga mendiang hari ini ialah Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad, Tan Sri Leo Moggie yang juga bekas Presiden Parti Bansa Dayak Sarawak.

    

- Bernama

ADS