Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Benteng empangan Paya Peda Besut terpaksa dipecahkan
Diterbitkan:  Dec 25, 2012 9:10 PM
Dikemaskini: 11:56 PM

Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan semalam untuk melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

    

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu

menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan di empangan.

    

Katanya langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.

    

Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat ini, ke pusat pemindahan banjir.

    

"Empangan ini belum lagi siap dan kandungan air di dalamnya mungkin belum sampai tahap maksimum. Kita takut tekanan dan air melimpah dan sebagainya, sebab itu kita terpaksa buat (pecahkan) melibatkan perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu hari ini.

    

Ahmad menasihati penduduk di daerah berkenaan agar berwaspada, bertenang dan sentiasa mengikuti arahan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan pelepasan air daripada empangan itu.

    

Beliau berkata beberapa kawasan di daerah Besut sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh dan bukan disebabkan tindakan melepaskan air empangan sepertimana yang berlaku sekarang.

    

"Walaupun empangan ini siap setahun dua lagi, banjir tetap juga berlaku kerana Besut mempunyai kawasan rendah dan sawah padi. Cuma dengan adanya empangan, ia (banjir) diharap dapat dikurangkan," katanya.

    

Empangan Paya Peda yang dibina dua tahun lepas dengan kos RM333 juta dijangka siap pertengahan tahun depan.

    

Projek itu terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh.

    

Apabila siap kelak, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.

    

- Bernama

ADS