Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peserta 4X4 dan pekerja balak berjaya diselamat

Seramai 54 orang peserta pacuan empat roda (4x4) dari Puma Club termasuk 17 kanak-kanak terpaksa melalui detik cemas apabila terperangkap di Sungai Kelmin, Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun sejak empat hari lalu ekoran laluan keluar dari tempat itu ditenggelami banjir.

    

Difahamkan, jambatan yang menghubungkan kawasan perkhemahan mereka runtuh akibat arus deras Sungai Loh menyebabkan kesemua mereka yang datang dari Melaka, Johor dan Perak itu terperangkap.

    

Namun kesemua mereka berjaya dibawa keluar dengan bot oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam operasi yang bermula pada 2 petang kelmarin dan berakhir 4 petang semalam.

Penolong Kanan Penguasa Bomba AMBS, Imran Ismail berkata kesemua mangsa yang menaiki 17 kenderaan 4x4 itu berjaya diselamatkan dengan dua bot secara berperingkat oleh 12 anggota yang terlibat.

    

Katanya kesemua mangsa berada dalam keadaan selamat bagaimanapun terdapat beberapa peserta mengalami luka kecil.

    

Menurutnya kumpulan berkenaan mula memasuki kawasan tersebut pada 23 Disember lalu dan dijangka menamatkan pengembaraan mereka tiga hari kemudian iaitu Selasa lepas.

    

Bagaimanapun hasrat untuk pulang terpaksa dibatalkan apabila jambatan utama yang menghubungkan mereka untuk keluar runtuh akibat arus deras manakala kawasan sekitarnya ditenggelami air.

    

"Ekoran itu, bekalan makanan untuk tempoh tiga hari pengembaraan itu terpaksa dicatu agar mencukupi sehingga bantuan tiba," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat tentang kesemua mangsa yang terperangkap itu pada hari Selasa lalu, bagaimanapun keadaan jalan serta arus deras menyukarkan operasi menyelamat.

    

Namun katanya keadaan air yang surut sedikit hari ini membolehkan anggota memulakan misi menyelamat.

    

"Kesemua mereka telah dipindahkan ke sebuah penginapan berdekatan Balai Bomba AMBS dan pada masa ini kita tidak pasti bila kenderaan mereka dapat dikeluarkan ekoran jambatan sepanjang 500 meter itu telah runtuh," katanya.    

Di Dungun pula, seramai 13 pekerja balak di Pasir Raja, Hulu Kelamin berjaya diselamatkan sejak terperangkap hampir seminggu di tengah hutan belantara berikutan laluan keluar dari tempat kerja mereka

ditenggelami air.

    

Kesemua 12 pekerja lelaki dan seorang wanita itu berjaya diselamatkan kira-kira 1.30 petang tadi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurut mangsa, Roslan Hamid, 52, mereka terperangkap hampir seminggu dan mereka telah memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak pengurusan dan pihak pengurusan meminta mereka bersabar dan akan menghantar bantuan.

    

Katanya ada di antara rakan mereka terpaksa memberanikan diri menggunakan rakit, pelampung dan juga tayar untuk keluar dari tempat terbabit kerana bimbang bekalan makanan terputus.

    

"Kami mula terperangkap pada hari Jumaat lepas dan kami tidak berani untuk keluar berikutan air yang naik mendadak.

    

"Kami hanya mampu bersabar dan berdoa sementara menunggu bantuan tiba dan akhirnya bantuan itu tiba juga hari ini," katanya ketika ditemui Bernama.

Seorang lagi mangsa Tahir Rikan, 30, bersyukur mereka berjaya diselamatkan setelah lama terperangkap di dalam rumah kongsi di tempat pembalakan itu dalam keadaan kesejukan dan kekurangan makanan.

    

"Saya agak risau dan takut dengan situasi yang dialami ini setelah hujan turun dengan lebat dan bimbang tidak dapat keluar dari situ.

    

"Lebih membimbangkan bekalan makanan hampir habis dan talian telefon juga terputus," katanya.

    

Sebelum ini Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu telah membuat risikan dan operasi menyelamat mangsa namun menemui jalan buntu ekoran air sungai yang deras dan naik mendadak.

    

Pihak bomba terpaksa meminta bantuan daripada Unit Udara Bomba dan Penyelamat Subang, Selangor untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap.

Tinjauan Bernama ke tempat kejadian mendapati laluan keluar dan masuk ke rumah kongsi berkenaan ditenggelami air.

    

Selain itu kesemua mangsa dilihat letih dan ketakutan dan telah bersiap sedia menunggu bantuan.

    

Sementara itu Penolong Kanan Penguasa Bomba, Unit Udara Bomba dan Penyelamat Subang, Selangor, Khairil Azuan Jamaluddin berkata sebaik menerima maklumat kira-kira 12.45 tengahari semalam, mereka terus menjalankan operasi menyelamat di kawasan balak terbabit.

    

Katanya pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit bagi menyelamatkan kesemua mangsa.

    

"Sebalum operasi menyelamat itu dilakukan kami terpaksa mendarat hampir 10 minit di Kampung Peneh ekoran kabus tebal dan menyukarkan helikopter untuk mendarat," katanya.

    

Beliau berkata kesemua mangsa dihantar ke Balai Bomba Al-Muktafi Billah Shah untuk diserahkan kepada majikan mereka.

- Bernama

ADS