Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
JAKIM larang ungkapan 'halal' kelirukan umat Islam

Mulai 1 Januari depan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) melarang penggunaan logo halal dan ungkapan halal seperti perkataan 'ditanggung halal', 'makanan orang Islam', 'buffet Ramadan' dan lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan dan memperdayakan orang Islam.

    

Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan hari ini berkata mulai 1 Jan 2013 tindakan akan diambil ke atas pihak yang masih menggunakan logo dan ungkapan halal selain logo halal yang dikeluarkan JAKIM atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

    

"Sebuah pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

    

"Pihak selain dari pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

    

Tambah Othman makanan dan barang-barang import yang hendak diperihalkan sebagai halal hendaklah menggunakan logo atau nama badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf JAKIM di negara pengeluar masing-masing.

    

Jelas beliau, tempoh peralihan selama setahun Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang ikuatkuasakan mulai 1 Januari 2012 tamat pada 31 Disember 2012.

    

"Justeru JAKIM mengingatkan pihak industri agar lebih bersedia dan peka dengan pensijilan halal Malaysia dari semasa ke semasa.

    

"JAKIM juga berharap agar orang ramai dapat memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat sekiranya berlaku penyalahgunaan logo halal," kata Othman.

    

- Bernama

ADS