Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hujan di T'ganu, Pahang dijangka berterusan hingga Rabu

Hujan sekejap-sekejap yang kadangkala lebat di Terengganu dan Pahang dijangka berterusan sehingga Rabu ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata daerah-daerah yang terlibat ialah Dungun dan Kemaman di Terengganu dan Kuantan, Pekan dan Rompin di Pahang.

Jabatan itu memberi amaran bahawa keadaan itu akan menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah.

Sementara itu, hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Johor juga dijangka berterusan hingga Rabu.

Daerah-daerah yang terlibat ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Kuala Krai, Tanah Merah dan Machang di Kelantan; Besut, Setiu, Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu di Terengganu; Padang Besar, Kangar dan Arau di Perlis; Baling, Sik, Kubang Pasu dan Padang Terap di Kedah serta Kluang, Mersing dan Kota Tinggi di Johor.

Keadaan itu juga boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah, tambah jabatan itu.  

Di Kuantan, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kerajaan negeri dan pihak bertanggungjawab membuat persediaan secukupnya terutama dari segi logistik sejak enam bulan lepas bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir sambil mengharapkan kerjasama orang ramai supaya lebih bertanggungjawab menjaga kebersihan bagi mengelak bencana banjir menjadi lebih buruk.

"Kalau kita semua ada rasa tangungjawab dan tidak membiarkan sampah sarap masuk ke dalam longkang, Insya-Allah tak banjir kerana bila sampah tak ada, air hujan (dalam longkang) akan mengalir dengan lancar.

"..walaupun longkang itu kecil, tapi kalau bersih, air hujan boleh mengalir (dengan lancar) dan (walaupun) banjir mungkin tidak akan begitu teruk seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Pasukan Sukarelawan Malaysia (RELA) peringkat Pahang di Kuantan semalam.

Minggu lepas beberapa buah daerah di Pahang dilanda banjir berikutan hujan yang turun lebih lebat daripada biasa, manakala daerah Kuantan dilanda banjir kilat ekoran keadaan longkang yang kecil dan saluran longkang dipenuhi sampah sarap.

Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk Mustafa Ibrahim berkata pasukan Rela sentiasa bersedia membantu menempatkan anggotanya di kawasan-kawasan yang dilanda banjir.

"Kalau di tempat yang agak teruk dilanda banjir, kita akan tempatkan 20 hingga 30 anggota kita bagi mengawal kawasan tersebut dari kejadian jenayah.     "Anggota kita juga akan membantu mangsa banjir ke pusat pemindahan, memasak dan mengagihkan makanan kepada mangsa banjir di pusat berkenaan," katanya.

- Bernama

ADS