Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu pegawai-pegawai Malaysia dan Thailand di sempadan membina kerjasama lebih baik untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala kedua buah negara.

Beliau berharap majlis makan malam muhibah antara mereka yang diadakan di Danok, Thailand malam tadi akan mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin.

Harapan Perdana Menteri itu disampaikan Pegawai Tugas-tugas Khas beliau, Datuk Latt Shariman Abdullah yang mengetuai pegawai-pegawai di sempadan Malaysia/Thailand pada jamuan tersebut.

Turut hadir Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Mohd Fauzi Salleh dan Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan Senator Datuk Boon Som Inong yang mewakili masyarakat Siam Malaysia.

Wakil Thailand yang hadir ialah Ketua Polis Selatan Thai, Kolonel Damras Wiriyohal, Naib Gabenor Wilayah Satun, U-Tarn Pichayaporn dan Naib Gabenor Wilayah Songkhla, Nattapong Sirichana.

Ketika berucap pada majlis itu, Latt Shariman berkata masyarakat Malaysia menganggap Hadyai sebagai sempadan kerana ia menjadi tumpuan sebagai tempat perjumpaan pelancong dan peniaga yang masuk ke Thailand melalui Padang Besar, Wang Kelian, Sungai Golok atau Tak Bai.

"Kita serahkan kepada Strategi Pembangunan Bersama (JDS) dan Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang ditubuhkan pada 2004 bagaimana untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala ini.

"Pada masa sama kita bantu tingkatkan kegiatan ekonomi di bawah kawasan segi tiga pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT). Saya yakin kedutaan kita serta Wisma Putra dan pihak berkenaan di Bangkok bekerja keras bagi menjayakannya, katanya.

Menurutnya kerajaan dan rakyat Malaysia mengambil berat bencana yang menimpa Thailand dan buktinya beliau sendiri mengetuai badan-badan bukan kerajaan (NGO) menghantar bantuan bernilai lebih RM10 juta kepada mangsa banjir di Bangkok pada November tahun lepas.

Pegawai kedua-dua negara di sempadan telah menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam membanteras penyeludupan bahan terlarang seperti dadah, bunga api, mercun, petrol, diesel dan beras dan mahu mereka meneruskannya agar kedua-dua negara menjadi lebih maju dan makmur, katanya.

Latt Shariman berkata majlis itu yang terakhir diadakan tiga tahun lepas bertujuan meningkatkan hubungan baik antara pegawai-pegawai di sempadan, akan diadakan setiap tahun mulai tahun ini.

Katanya pegawai kedua-dua negara di sempadan adalah lebih penting dalam memelihara keamanan dan keselamatan daripada mereka yang berada di Kuala Lumpur dan Bangkok.

Sementara itu, Thailand mencadangkan kerajaan Malaysia menghantar guru mengajar bahasa Malaysia untuk mengajar di wilayah selatan negara 'Gajah Putih' itu serta mengenepikan protokol tertentu dalam usaha meningkatkan hubungan dua hala agar lebih akrab dan harmoni.

Setiausaha Agung Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thai, Tawee Sadsong yang mencadangkannya bagaimanapun tidak menyebut protokol yang dimaksudkannya.

Sekiranya lebih ramai rakyat Thai menguasai bahasa Malaysia, hubungan antara rakyat kedua-dua negara akan lebih mesra, katanya pada sidang akhbar selepas majlis itu dan diterjemahkan Boon.

"Kemesraan ini akan memudahkan serta meningkatkan lagi perdagangan di wilayah sempadan yang terbatas oleh sebab-sebab tertentu termasuk undang-undang," katanya.

Tawee yang berucap sebelum itu menyifatkan hubungan Malaysia dan Thailand ibarat dua saudara akrab dan kukuh secara rasmi atau tidak rasmi dan berharap hubungan itu diperluaskan lagi meliputi bidang pendidikan, agama dan bahasa.

- Bernama

ADS