Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) membuat laporan polis semalam bagi menentang penganjuran perhimpunan Himpunan Kebangkitan Rakyat esok.

Timbalan Presidennya, Syahrir Abdul Aziz berkata pendapatan pemandu akan terjejas sekiranya perhimpunan itu diteruskan.

    

"Ia bukan saja boleh mencetuskan rusuhan malah menyebabkan banyak harta awam rosak selain menjejaskan keselamatan awam," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di ibunegara.

    

Syahrir berkata Petekma tidak mahu apa yang berlaku pada satu perhimpunan di ibu kota April lalu yang mengakibatkan kesesakan lalulintas dan pengusaha perkhidmatan pengangkutan awam mengalami kerugian, berulang.

    

Syahrir, yang diiringi kira-kira 15 anggota Petekma ketika membuat laporan polis pada 2.30 petang, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan yang dirancang itu.

    

Di SHAH ALAM, Persatuan Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula mendesak penganjur itu supaya membatalkan perhimpunan itu.

    

Presidennya Datuk Mohd Zaini Hasan berkata perhimpunan itu hanyalah mekanisme pakatan pembangkang untuk menutup kelemahan pentadbirannya di  negeri-negeri yang ditadbir mereka.

    

Beliau berkata perhimpunan itu juga akan mendorong dan mengheret rakyat kepada sikap anarki, jahil serta gagal melihat sistem demokrasi sebagai satu sistem bertamadun tinggi.

    

Mohd Zaini, yang juga Penolong Ketua Pengarang I, Utusan Malaysia, meminta alumni dan penuntut UiTM supaya tidak melibatkan diri dalam perhimpunan itu.

- Bernama