Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) membatalkan notis arahan kepada sebuah kuil di Pekan Bangi Lama supaya mengurangkan bunyi bising dan menghentikan aktiviti keagamaan selepas jam 6 petang.

Ahli Majlis MPKj, Shafie Ngah berkata, notis pembatalan itu diberikan minggu lalu selepas mesyuarat bersama Yang Dipertua majlis itu.

Tambahnya, pegawai yang bertanggungjawab mengeluarkan notis arahan awal kepada kuil Sri Maha Mariamman pada 8 Januari lalu itu juga telah dipanggil dan diambil tindakan pada minggu lalu.

Bagaimanapun beliau berkata, pegawai yang bertugas hanya melakukan kerja mengikut garis panduan operasi (SOP).

"Notis dibatalkan, diberi pada minggu lalu. Tindakan sewajarnya telah diambil. Pegawai itu hanya ikut SOP. Bila ada aduan, dia turun dan ambil tindakan dengan keluarkan notis.

"Tetapi kita telah nasihatkan agar jangan ambil tindakan cepat lagi-lagi perkara yang melibatkan rumah ibadat. Biar YDP tahu dan terserah pada dia untuk ambil tindakan.

"Kita  juga sedar dengan arahan kerajaan negeri. Jadi kita telah nasihatkan supaya urusan yang melibatkan rumah ibadat, tak kisah, surau atau kuil perlu tahu arahan kerajaan negeri," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau diminta menjelaskan notis MPKj bertarikh 8 Januari yang menyatakan bahawa bunyi bising dan aktiviti keagamaan di kuil berkenaan menganggu jiran sekeliling.

Pengerusi kuil tersebut R Pannirselvam dalam laporan The Star semalam berkata, mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya mengikut seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan sekiranya tidak mematuhi arahan tersebut.

Arahan berkenaan menimbulkan kemarahan MP Puchong Gobind Singh Deo yang mendesak agar kerajaan negeri mengambil tindakan terhadap pegawai MPKj yang mengeluarkan arahan tersebut.

Gobind berkata, tindakan sesetengah pegawai yang mengabaikan arahan daripada kerajaan negeri akan berterusan sekiranya tiada tindakan diambil.

"Untuk mengatakan bahawa kerajaan negeri tidak bertanggungjawab kerana pegawai itu bertindak tidak mengikut arahan itu satu hal, tetapi untuk membiarkan pegawai itu tidak mengikut arahan itu satu hal lain.

"Saya menyeru menteri besar untuk memastikan bahawa tindakan akan diambil terhadap pegawai yang tidak mengikut arahan bagi menunjukkan bahawa kerajaan negeri serius dalam memastikan perkara seperti ini tidak berlaku lagi di masa hadapan," katanya lagi.

ADS