Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun maut dihempap televisyen bersaiz 29 inci di rumahnya di Kampung Masjid Lama, Telok Chengai dekat Alor Setar.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam semalam, Muhammad Luqhman Hakim Lazzuan dikatakan sedang menonton televisyen sambil bermain berhampiran rak televisyen itu.

Bapa mangsa, Lazzuan Ishak, 37, berkata semasa kejadian dia sedang mandi manakala isterinya, Waida Kasim, 27, sedang bersolat.

"Sementara menunggu isteri saya selesai sembahyang, saya lihat dia (Muhammad Luqhman Hakim) sedang bermain, tetapi disebabkan badan panas, saya pergi mandi dulu.

"Semasa saya mandi, ibu saya tolong tengok-tengokkan dia tetapi tidak tahu bagaimana kejadian itu berlaku. Selepas terdengar bunyi dentuman yang kuat, saya terus keluar dari bilik air untuk melihat apa yang berlaku.

"Saya lihat televisyen bersama rak meletak televisyen yang diperbuat daripada besi telah jatuh dan menimpa anak saya," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

Katanya dia dan abangnya segera membawa anak tunggalnya itu ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan dan anaknya ketika itu masih lagi bernafas.

"Anak saya yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada disahkan meninggal dunia ketika tiba di bahagian kecemasan hospital berkenaan dan kakitangan hospital itu mengarahkan agar kami membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah," katanya.

Lazzuan berkata sebelum ini dia selalu menegur Muhammad Luqhman Hakim supaya tidak bermain berhampiran televisyen kerana bimbang kejadian seperti itu berlaku.

Jenazah Muhammad Luqhman Hakim selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Chengai pukul 10 pagi.

Sementara itu, polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata berkata bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan teruk di kepala.

- Bernama

ADS