Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persembahan terbuka, Gerakan Kedah serah memo bantah syarat

Pemuda Gerakan Kedah hari ini menyerahkan  memorandum bantahan terhadap garispanduan yang ditetapkan kerajaan negeri bagi program '1Malaysia Sambutan Tahun Baru Cina 2013' pada 15 Februari.

    

Ketuanya, Tan Keng Liang berkata, memorandum itu bertujuan mendesak kerajaan negeri supaya membatalkan segera semua sekatan dikenakan, bukan sahaja untuk program berkenaan, malah untuk semua program di luar musim perayaan demi keselesaan rakyat bukan Islam di negeri ini.

    

"Menteri Besar kata pada Tahun Baru Cina diberikan kelonggaran, jadi bermakna sekatan itu tidak dibatalkan sepenuhnya dan masih terpakai sebagai polisi umum kerajaan negeri ini.

    

"Maknanya isu ini belum selesai kerana kelonggaran diberi hanya pada musim perayaan, bagaimana dengan masa-masa lain selain musim perayaan?" katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu kepada Setiausaha Akhbar  Menteri Besar Kedah, Mohd Helmi Khalid di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

    

Beliau berkata jika perkara berkenaan tidak dimuktamadkan, kemungkinan selepas ini akan ada sekatan-sekatan lain, dan mungkin akan turut dikenakan terhadap orang Islam pula.

    

"Kali ini mereka mungkin nak tengok reaksi dulu, lepas ni mungkin nak kenakan sekatan lain seperti asingkan lelaki dan wanita... Selepas ini Siti Nurhaliza dan Yuna pun tidak boleh mengadakan persembahan (di Kedah) lagi," kata Tan.

    

Antara syarat yang dikenakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini ialah tidak membenarkan wanita dewasa melakukan persembahan, hanya lagu berunsur ketuhanan dan nasihat dibenarkan, persembahan kugiran tidak dibenarkan dan tidak boleh berpakaian tidak sopan dan menjolok mata.

    

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak kemudian dilaporkan berkata kerajaan negeri memberikan kelonggaran dengan membenarkan wanita mengadakan persembahan dan penyanyi juga dibenarkan menyanyi mana-mana lagu yang sesuai bagi acara berkenaan.

    

Sementara itu, Tan berkata kerajaan negeri juga perlu menjelaskan secara terperinci mengenai apa yang dimaksudkan pakaian yang sopan.

    

- Bernama

ADS