Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lebih sejuta penganut Hindu banjiri Batu Caves

Lebih sejuta penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Sri Subramaniyar Swami di Batu Caves bagi membayar niat dan menebus dosa sempena sambutan Thaipusam hari ini.

Sambutan yang dimasukkan dalam kalendar pelancongan Malaysia itu turut menggamit pelancong asing yang tidak mahu melepas peluang melihat keunikan perayaan yang mungkin tidak pernah dirai di negara mereka.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan Batu Caves dibanjiri penganut agama Hindu sejak tiga hari lepas dan bilangan pengunjung bertambah hari ini apabila upacara membayar niat bermula dengan mendaki 272 anak tangga menuju ke kuil di dalam gua itu.

Seperti sambutan sebelum ini, penganut membayar niat dengan pelbagai cara termasuk mencukur kepala, membawa 'pal kudam' (belanga susu) dan 'kavadi' yang dihias cantik.

Seorang penganut wanita, D. Rathalakshmi Devalajar yang mencukur rambutnya, berkata beliau bernazar untuk berbuat demikian jika suaminya yang terlibat dalam kemalangan kembali sihat.

"Pada tahun ini, selepas pembedahan lutut, suami saya kembali sihat," katanya yang bekerja sebagai jururawat di sebuah hospital kerajaan.  

Pelancong dari Abu Dhabi, Rhonda Walker pula teruja melihat perarakan membawa 'kavadi' yang diirngi pukulan gedang dan alat muzik lain.

"Ini kali pertama saya menyaksikan sambutan ini yang sangat unik dan mengagumkan. Saya tiba di sini semalam, semata-mata untuk menyaksikan sambutan ini," kata Walker yang juga seorang jurugambar.

Dani Rohdes dari Afrika Selatan pula menganggap sambutan Thaipusam sebagai sangat unik dan berwarna-warni.

Turut dikenali sebagai Thaipooyam dalam bahasa Malayalam dan disambut pada bulan 'Thai' atau bulan ke-10 dalam kalendar Tamil, Thaipusam juga bagi memperingati hari lahir Dewa Murugan dan kejayaannya menghapus kuasa jahat bernama Soorapadman.

Seperti tahun sebelumnya, suasana di sekitar kuil itu juga meriah dengan kebanjiran gerai yang menjual pelbagai jenis barangan selain beberapa gerai pameran agensi kerajaan.

Di Ipoh, lebih 20,000 penganut Hindu membanjiri Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh berhampiran Medan Istana sejak petang semalam, bagi menyambut perayaan Thaipusam.

Selain berjalan kaki membawa periuk susu, ada penganut Hindu membawa kavadi melalui beberapa laluan utama dalam bandar raya Ipoh yang ditutup kepada lalu lintas bagi keselamatan mereka.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir melakukan tinjauan mesra untuk bertanya khabar dan beramah mesra dengan penganut Hindu di sekitar kawasan itu.

Di Geprgetown, lebih 100,000 penganut Hindu dan pelancong asing bertumpu di kuil-kuil Hindu di Jalan Kebun Bunga.

Mereka membanjiri sepanjang jalan utama menuju Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit itu.

Turut memeriahkan suasana ialah Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang yang melawat 'Thanir Panthal' serta beramah mesra dengan pengunjung di sepanjang Jalan Kebun Bunga dan Jalan Air Terjun.

Pengerusinya, Teng Chang Yeow berkata pihaknya mempertimbangkan cadangan penganut Hindu untuk membina eskalator bagi memudahkan orang ramai yang perlu mendaki 513 anak tangga untuk mengunjungi kuil berkenaan.

"Kita akan laksanakan projek itu jika rakyat memberi mandat kepada BN mentadbir negeri ini. Dengan adanya eskalator itu nanti diharapkan warga emas, kanak-kanak dan orang kelainan upaya lebih mudah melawat kuil itu," katanya kepada pemberita.        

Sementara itu, pelancong dari Kanada GC Paula, 32, tidak melepaskan peluang hari terakhirnya di negeri ini dengan merakam foto kenangan di kawasan sambutan Thaipusam bersama lima rakannya.

"Satu budaya yang mengagumkan, semua berkumpul dalam suasana harmoni dan meriah walaupun cuaca panas dan melaksanakan ritual yang unik," katanya.

S Vishnutharan, 34, dari Taiping berkata beliau datang untuk menzahirkan rasa syukur isterinya selamat melahirkan anak sulung mereka dua bulan lepas dengan menjunjung periuk susu.

"Tahun lepas saya datang ke sini (kuil) berdoa supaya dapat anak, syukurlah Tuhan mendengarnya," katanya.

Di Kedah, Parti Progresif Penduduk mengagihkan 30,000 bungkusan nasi selama tiga hari sejak semalam kepada penganut Hindu yang meraikan sambutan Thaipusam di Kuala Muda.

- Bernama

ADS