Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
K'jaan buka skim pembiayaan mikro untuk penjaja

Kira-kira 1.5 juta penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara kini boleh memohon Skim Pembiayaan Mikro Untuk Penjaja dan Peniaga Kecil yang disalur melalui Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata skim itu yang dikendalikan Bank Rakyat, menyediakan pembiayaan dari RM1,000 hingga RM50,000 bagi tujuan modal kerja atau modal pusingan serta pembelian peralatan.

"Skim ini memberi keutamaan kepada peserta yang menjalankan perniagaan Menu Rakyat 1Malaysia di mana permohonan mereka akan didahului berbanding mereka yang menjalankan perniagaan lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penjaja 1Malaysia di Temerloh, hari ini.

Katanya bagi yang berminat, mereka boleh mengisi borang yang disediakan di semua cawangan Bank Rakyat dan dilampir salinan kad pengenalan serta salinan pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Bagi permohonan yang lengkap, proses kelulusan akan mengambil masa antara lima hingga 10 hari sahaja," katanya menambah kerajaan memperuntukkan RM50 juta menerusi skim itu.

Ismail Sabri berkata antara syarat permohonan skim itu ialah warganegara Malaysia, berumur 18 hingga 60 tahun, berdaftar dengan SSM di Semenanjung dan pihak berkuasa tempatan bagi Sabah dan Sarawak serta berniaga sepenuh masa.

Antara keistimewaan skim itu ialah penerima tidak dikenakan faedah atau memerlukan cagaran, dikecualikan daripada semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat dan Credit Tip Off Service Sdn Bhd (CTOS) serta tempoh bayaran balik antara lima dan sembilan tahun.

Sementara itu, pada majlis penutup Karnival Hospitaliti Kepenggunaan di Kampung Paya Serai, Bera dekat sini, Ismail Sabri menasihati orang ramai supaya menyemak kesahihan skimm pelaburan dengan SSM bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat lengkap termasuk senarai syarikat yang menawarkan Skim Berkepentingan Khas (SIS)) dengan melayari laman web SSM di www.ssm.com.my.

"Penduduk luar bandar terutamanya perlu berbuat demikian kerana mereka adalah kumpulan sasar syarikat sedemikian dengan menawarkan pulangan pendapatan lumayan dalam masa singkat.

"Setakat ini, hanya 188 syarikat yang mendapat kelulusan SSM untuk menawarkan pelaburan dalam projek yang mereka laksanakan menerusi SIS," katanya.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai yang sudah melabur dalam syarikat yang tidak disenaraikan dalam laman web SSM menarik menarik balik pelaburan mereka dan melaporkannya kepada suruhanjaya berkenaan.

- Bernama

ADS