Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Mayat mendiang Tan Ping Wee yang terkorban dalam krisis tebusan kumpulan militan di Algeria selamat disemadikan di Fairy Park, Sendayan dekat Port Dickson hari ini.

Menurut seorang anggota keluarga mendiang yang tidak mahu namanya disiarkan, mayat mendiang Tan tiba di rumahnya di No 6, Taman Bukit Samudra, Kampung Paya di Port Dickson pada 2 pagi ini.

Anggota keluarga, saudara-mara, jiran dan kenalan mula berkumpul di rumah mendiang sejak malam tadi dan suasana pilu menyelubungi mereka apabila kereta yang membawa mayat mendiang mula beredar ke Fairy Park untuk upacara pengkebumian pada 11 pagi ini.

Turut memberi penghormatan terakhir pengerusi MCA Negeri Sembilan Datuk Dr Yeow Chai Thiam.

Mendiang Tan meninggalkan seorang isteri Koh Siow Mun dan seorang anak lelaki berusia 16 tahun.

Mayat mendiang Tan dan seorang lagi mangsa, Chong Chung Ngen tiba di kompleks kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 8.30 malam tadi setelah diterbangkan dari Algiers.

Dalam insiden 16 Jan lalu, lima rakyat Malaysia antara 130 pekerja dari pelbagai negara di Kompleks Pengeluaran Gas dan Minyak (OGPC) In Amenas, timur Algeria menjadi tebusan kumpulan militan.

Insiden itu dipercayai berpunca daripada balas dendam terhadap tindakan kerajaan Algeria membenarkan tentera Perancis menggunakan ruang udaranya untuk melancarkan serangan ke atas pemberontak Islam di Mali.

Tan dan Chong disahkan terbunuh dalam kejadian itu, manakala tiga lagi rakyat Malaysia iaitu K Ravi, Lau Seek Chiang, dan Patrick Purait Awang terselamat.

- Bernama

ADS