Tuduhan salah laku seks Anwar adalah fitnah: Megat Junid
EKSKLUSIF Seorang bekas menteri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub, dalam akuan bersumpahnya yang diberikan kepada peguam bela bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam berkata beliau tidak percaya sebarang tuduhan salah laku seks yang dibuat oleh Ummi Hafilda Ali dalam suratnya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.
"Saya mengenali Anwar lebih daripada 30 tahun dan saya tidak pernah mendengar apa-apa salah laku seks beliau sama ada yang melibatkan wanita mahu pun kegiatan seks sesama jenis atau liwat," kata Megat Junid dalam akuan tersebut.
"Sehingga hari ini saya tidak percaya tuduhan-tuduhan tersebut dan yakin bahawa ia adalah fitnah semata-mata. Saya ingin mengesahkan bahawa setakat pengetahuan saya, (Datuk) Aziz Shamsuddin, bekas setiausaha politik Dr Mahathir tidak pernah 'ngam' (atau 'serasi' dalam bahasa Kantonis) dengan Anwar."
Akuan bersumpah Megat itu disediakan pada 27 Mac lalu di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, T. Thanapalasingam. Ketika dihubungi malaysiakini semalam, beliau mengesahkan bahawa kenyataan itu ditandatangani oleh Megat di hadapannya.
Bagaimanapun, Thanapalasingam menyatakan bahawa bekas timbalan menteri dalam negeri itu telah melakukan "sedikit perubahan" terhadap dokumen asal. Beliau enggan mengulas lebih lanjut sama ada "perubahan" tersebut akan mengubah isi kandungan kenyataan asal.
Malaysiakini gagal menghubungi Megat Junid di kediamannya di Kelana Jaya. Menurut isterinya, bekas menteri tersebut telah keluar untuk bermain golf.
Peguam bela Anwar mengemukakan sapina kepada Megat untuk memanggil beliau memberikan keterangan dalam perbicaraan salah laku seks bekas Timbalan Perdana Menteri itu.
Anwar menyatakan bahawa keterangan Megat Junid diperlukan untuk membongkarkan konspirasi politik untuk menjatuhkan beliau.

