Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'S'gor perlu runding sendiri dengan syarikat konsesi air'

Kerajaan Selangor perlu berunding sendiri dengan syarikat konsesi air jika ia mahu mengambil alih perkhidmatan air di negeri itu, dengan berlandaskan persetujuan pembeli dan penjual, kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui.

Katanya,kerajaan negeri itu tidak perlu menghantar surat untuk memaklumkan kepada kementeriannya untuk mengambil alih perkhidmatan air di negeri itu.

Peter berkata, ini kerana kementeriannya tidak mempunyai kuasa untuk menghalang atau membenarkan sesebuah syarikat konsesi air diambil alih.

"Takpayah (beri surat pada kementerian). Kalau nak, pergi berunding.

"Bagi saya ini adalah satu tawaran komersial biasa yang memerlukan persetujuan pembeli dan penjual.

"Oleh itu menteri besar tak perlu lagi membesar-besarkan isu ini seolah-olah kerajaan persekutuan tidak bersetuju dengan hasrat kerajaan negeri Selangor untuk membuat tawaran pengambil alihan syarikat.

"Ada baiknya mulai hari ini daripada membincangkan hasrat tersebut melalui media, menteri besar memanggil pihak berkepentingan empat buah syarikat konsesi tersebut untuk mulakan rundingan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang dibuat di Putrajaya hari ini.

Semalam, dalam satu kenyataan media, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri Selangor berkata ia akan mengambil alih perkhidmatan bekalan air daripada syarikat konsesi sekarang, dalam masa dua minggu.

Katanya, ia ekoran kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini bahawa kerajaan pusat tiada halangan terhadap langkah tersebut.

"Kerajaan Selangor telah menulis surat kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui untuk memaklumkan bahawa kita akan mengambil alih perkhidmatan air daripada syarikat konsesi dalam tempoh 14 hari," kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sehubungan itu, Peter Chin berkata, kementeriannya sehingga hari ini masih belum menerima sebarang surat seperti yang didakwa dihantar oleh kerajaan negeri itu.

Beliau berkata lagi, selain tidak mempunyai kuasa untuk menghalang keinginan kerajaan negeri, kementeriannya juga tidak boleh memaksa mana-mana syarikat konsesi air untuk menjual ekuiti mereka.

"Kita tak ada kuasa untuk paksa syarikat tersebut untuk jual ekuiti kepada kerajaan negeri. Kalau mereka tak nak jual apa saya boleh buat?

"Nak dekat pilihan raya ini, nak politikkan isu. Tulis surat pada saya, untuk apa? Kenapa tak guna kaedah yang sedia ada?," katanya yang merujuk kepada kaedah penstrukturan air yang telah dibuat kementeriannya kepada enam buah negeri.

"Kita belum menerima sebarang surat yang berkaitan. Tetapi kalau terima kita akan balas. Kita tak ada halangan dan saya ucapkan semoga berjaya," tambahnya.

      

1. S'gor mahu ambil alih khidmat air dalam 14 hari

 

ADS