Anwar: Kehadiran Mahathir di mahkamah penting
Bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini dipenjarakan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengemukakan afidavit balas setebal 18 mukasurat sebagai jawaban kepada afidavit Perdana Menteri, Datuk Seri Mahathir Mohamad.
Afidavit setebal 14 mukasurat yang dikemukakan oleh Mahathir kepada Anwar pada hari Isnin lalu mencabar percubaan bekas timbalannya itu untuk memanggilnya sebagai salah seorang saksi dalam perbicaraan kes liwat Anwar.
Hakim Mahkamah Tinggi, Arifin Jaka, yang belum membuat sebarang keputusan terhadap kehadiran Mahathir berkata bahawa Mahathir boleh menjawab afidavit balas Anwar itu jika beliau mahu.
"Untuk berlaku adil, tunjukkan (afidavit balas Anwar) itu kepadanya (Mahathir) tetapi jawapan dari beliau bukanlah wajib," kata Arifin.
Semalam, hakim tersebut berkata bahawa afidavit tidak harus difailkan lagi, sambil menegaskan beliau "tidak akan mempedulikan afidavit-afidavit itu" kerana nampaknya "tiada penghujung" terhadap tindakan (fail dan menfail balas afidavit) itu.
Mahkamah belum memutuskan sama ada Mahathir perlu memberikan keterangan dalam perbicaraan seks Anwar kerana Perdana Menteri itu dan bekas timbalannya masih cabar-mencabar satu sama lain dengan menggunakan afidavit masing-masing. Tindakan tersebut melambatkan perjalanan perbicaraan kes itu.
Dalam afidavit balas, Anwar berkata Mahathir melihat beliau sebagai ancaman berdasarkan rasa tidak selamat dalam dirinya sendiri, kebimbangan bekas timbalannya itu mencabar kedudukan politiknya dan kemarahan Perdana Menteri itu apabila Anwar campur tangan dalam urusan perniagaan anak sulungnya, Mirzan Mahathir.
"Saya boleh mengemukakan lebih banyak bukti yang menunjukkan bagaimana anak-anaknya menerima habuan daripada kontrak kerajaan," kata Anwar.
Sambil menekankan bahawa kehadiran Mahathir di mahkamah adalah penting untuk membongkarkan suatu jaringan konspirasi untuk menjatuhkan beliau, Anwar berkata Perdana Menteri harus mempertahankan tuduhan beliau di mahkamah dan "tidak bersembunyi di sebalik jentera kerajaan yang dikuasainya".
Anwar, sambil mengulangi pendirian asalnya, berkata konspirasi menjatuhkan beliau itu direka dengan persetujuan Mahathir.
"Beliau (Mahathir) memilih untuk mereka-reka dakwaan salah laku seks dan liwat sebagai senjata politik untuk menjatuhkan saya kerana ia merupakan suatu cara yang berkesan untuk menjejaskan maruah pejuang dan sarjana Islam di seluruh dunia," kata Anwar.
Sambil menggambarkan bekas ketuanya itu sebagai seseorang yang mampu "menyembunyikan amalan rasuah, pembunuhan, rogol dan salah laku seks di kalangan penyokong-penyokongnya," Anwar berkata beliau mempunyai maklumat tentang perbuatan sumbang Mahathir dengan wanita-wanita tertentu.
"Saya mempunyai nama wanita-wanita tersebut dan butir-butir lain. Tetapi saya tidak akan membongkarkan maklumat-maklumat itu kecuali terpaksa berbuat demikian."
Sebagai mengakhiri afidavit beliau yang ditulis dalam bilik tahanan mahkamah semalam, Anwar merayu kepada mahkamah supaya mengeluarkan perintah yang mewajibkan Mahathir untuk memberi keterangan di mahkamah.
"Jangan benarkan dia (Mahathir) bersembunyi di sebalik topeng kuasa dan lepas daripada keadilan dan kebenaran," kata Anwar.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.