Bekas menteri, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub, sedar isi kandungan dalam akuan bersumpah yang ditandatanganinya, peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Christopher Fernando memberitahu malaysiakini melalui telefon.
"Beliau (Megat) tahu kandungan dalam akuan bersumpah (yang dibuat pada 27 Mac). Kenyataan itu dibacakan kembali kepadanya. Semuanya dipersetujui dan beliau menurunkan tandatangan," kata Fernando.
Bekas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu bersumpah di depan seorang suruhanjaya sumpah bahawa rakannya yang kini dipenjara Anwar tidak bersalah melakukan kesalahan seks seperti fitnah yang diciptakan ke atasnya.
Megat, bagaimanapun, membuat beberapa perubahan Selasa lalu dengan menyatakan pandangannya bahawa Anwar tidak bersalah hanya sehingga 1 September 1998, sehari sebelum Timbalan Perdana Menteri itu dipecat. Sehari selepas itu, Anwar dibuang dari Umno.
Akhbar The Star semalam melaporkan Megat sebagai berkata beliau menandatangani kenyataan pertama itu dengan sangkaan ia merupakan salinan yang sama seperti draf yang dipersetujui oleh beliau dengan peguam Anwar.
"Kemudian saya meminta satu salinan dokumen tersebut tetapi mereka (peguam Anwar) hanya memberikannya kepada saya pada 31 Mac dan ketika itu saya mendapati terdapat perbezaan," beliau dipetik sebagai berkata.
Beliau menambah bahawa beliau tidak dapat tidur selama dua hari dan kemudiannya menemui pesuruhjaya sumpah yang sama untuk memindanya.
Apabila ditanya sama ada peguam Anwar telah melakukan sebarang perubahan terhadap akuan tersebut tanpa pengetahuan bekas menteri itu, Fernando menyatakan bahawa dakwaan Megat itu "sampah semata-mata".
Satu sumber peguam, yang enggan namanya disiarkan, berkata Megat Junid boleh didakwa kerana melakukan akuan bersumpah yang palsu.
"Peguam-peguam Anwar boleh, jika mereka mahu, untuk memulakan satu tatacara membatalkan kesaksian terhadap bekas menteri itu," kata beliau.
Tidak bersedia mengulas sama ada mereka akan cuba membatalkan kesaksian Megat, Fernando berkata mereka bercadang memanggil beliau sebagai saksi dalam perbicaraan Anwar selepas menyampaikan hujah-hujah mengapa mereka perlu memanggil Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ke mahkamah.
Percubaan malaysiakini menghubungi Megat di kediamannya di Kelana Jaya gagal.
