Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
8 rakyat M'sia disyaki terbabit kegiatan militan sejak 2010

Sekurang-kurangnya lapan rakyat Malaysia, termasuk seorang yang ditembak mati di Selatan Filipina, dipercayai terlibat dengan aktiviti keganasan sejak 2010.

    

Dalam tempoh itu, pihak berkuasa Malaysia menahan tujuh rakyat asing dipercayai terlibat dengan kumpulan pengganas.

Berikut ialah peristiwa yang melibatkan rakyat Malaysia dan rakyat asing dipercayai terlibat dalam kegiatan keganasan:-

    

  • 7 Februari 2013 - Polis menahan dua lelaki dan seorang wanita, semua rakyat Malaysia, kerana disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan dan disyaki menjadi dalang utama dalam merekrut beberapa rakyat Malaysia bagi  aktiviti keganasan.
  • 14 Disember 2012 - Rakyat Malaysia Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, ditembak mati oleh polis Filipina di sebuah hotel selepas bergelut dengan polis yang ingin memeriksa beg sandang berisi bom buatan sendiri dibawa isterinya. Berikutan itu polis mengesan lebih daripada tiga rakyat Malaysia dipercayai turut bergiat aktif dalam kegiatan kumpulan militan yang sama dan masih berada di negara ini.
  • 9 November 2012 - Warga Indonesia Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an dipercayai anggota JI yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009 ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur.
  • 26 Oktober 2012 - Dua rakyat Malaysia, Razif Mohamad Ariffin, 28, dan Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, ditahan di Beirut Hamra, Lubnan kerana disyaki merancang melakukan serangan ganas di negara berkenaan dan kini kedua-duanya masih dibicarakan di Mahkamah Tribunal Tentera negara itu.
  • Februari 2012 - Anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiyah (JI) kelahiran Muar, Zulkifli Hir, yang didakwa terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina Februari lepas, dipercayai masih hidup tetapi cedera parah.
  • Februari 2012 - Seorang rakyat Iran berumur 31 tahun yang merupakan suspek dalam tiga kejadian letupan bom di Bangkok ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang.
  • 4 Ogos 2011 - Tiga lelaki India, 28, Daljit Singh Ajaib Khalsa, 37, dan Kawal Singh Soundh, 39 ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terlibat dengan kegiatan kumpulan militan Babbar Khalsa International (BKI) yang berpangkalan di India.
  • Mei 2011 - Ahli perniagaan Singapura, Abdul Majid Kunji Mohamad ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan militan di selatan Filipina.
  • 21 Januari 2010 - Seorang rakyat Malaysia ditahan di bawah ISA kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas antarabangsa dan dipercayai dari kumpulan jemaah Islamiah (JI). Bersama lelaki tersebut sembilan warga asing turut ditahan.

    

- Bernama

ADS