Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar yakin kumpulan petani dan nelayan di dearah ini tidak akan mudah terpedaya dengan helah pakatan pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

    

Beliau berkata tindakan pemimpin pakatan pembangkang yang menuduh kononnya BN mengugut kumpulan itu dengan menghalang mereka memberi undi kepada pembangkang adalah tidak benar.

    

Katanya pakatan pembangkang sebenarnya buta dan isu itu ditimbulkan sebagai modal ceramah untuk mengelirukan pengundi terutamanya golongan pesawah dan petani di Tanjong Karang.

"Tuduhan itu sepatutnya tidak timbul kerana pakatan pembangkang sendiri yang tidak boleh terima kenyataan sekiranya BN berjaya menawan Selangor semula.

    

"Sebelum ini terbukti di Perak apabila pemimpin mereka sendiri yang menimbulkan huru-hara selepas BN berjaya mentadbir semula negeri itu," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Naib Presiden PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar kononnya BN menggunakan taktik menakut-nakutkan pengundi dalam siri ceramahnya di Sawah Sempadan, di Tanjong Karang baru-baru ini.

    

Mengulas lanjut, Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani, berkata beliau percaya dengan kesetiaan pengundi kerana mereka tahu siapa yang banyak membantu mereka.

    

"Kerajaan persekutuan telah banyak membantu termasuk memberi peruntukan berbentuk subsidi, insentif dan input pertanian berjumlah RM2.5 bilion dalam bajet tahun ini.

    

"Petani dan nelayan boleh menilai kesungguhan kerajaan persekutuan yang banyak membantu meningkatkan hasil pendapatan mereka dan kita percaya undian mereka kepada BN tidak berubah," katanya.

- Bernama

ADS