Wanita PAS dalam pilihanraya akan datang
Parti PAS tidak menolak kemungkinan bahawa calon wanita parti itu akan bertanding dalam pilihanraya akan datang, menurut Pengerusi Pembangunan Ekonomi, Petroleum, Industri dan Sumber Manusia Negeri Terengganu, Mustafa Ali.
Beliau optimis bahawa kepimpinan parti itu akan membenarkan calon-calon wanita bertanding dalam pilihanraya akan datang memandangkan kejayaan PAS dan keyakinan orang ramai terhadap parti itu.
Ketiadaan calon wanita dalam pilihanraya baru-baru ini bukanlah bermakna pimpinan PAS tidak mengiktiraf penglibatan wanita sebagai calon parti, tambah Mustafa, yang juga merupakan Naib Presiden Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Sebaliknya kegawatan pilihanraya lalu menyebabkan calon wanita PAS tidak dibenarkan bertanding, kata beliau dalam satu persidangan globalisasi bertajuk "Islam dan PAS" di Genting Highlands Ahad lalu.
"PAS mempunyai rekod di mana calon wanita Pas, Khadijah Sidek telah bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu," ujar Setiausaha Ketua Pembangkang, Dr. Hatta Mohd. Ramli yang turut menyokong penglibatan wanita PAS itu dalam pilihanraya sebagai calon.
Bagaimanapun, situasi pilihanraya lepas di mana parti PAS belum dapat menguasai perjalanan pilihanraya adalah punca PAS tidak membenarkan calon wanitanya bertanding. Tambah beliau, isu fitnah dan sabotaj serta kempen-kempen yang cuba mengaibkan maruah wanita yang timbul menyebabkan parti Islam itu menunda kehadiran calon wanitanya.
"Kita akui PAS mempunyai calon wanita yang berkebolehan, PAS juga mempunyai dua wakil wanita di Dewan Negara," jelas Hatta yang tidak menafikan penglibatan wanita PAS dalam politik negara.
Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali berkata, tiada perwakilan wanita PAS di peringkat kabinet tidak bermakna wanita tidak memainkan peranan penting dalam perkembangan politik negara ini.
"Wanita PAS tidak melarikan diri dari tanggungjawab walaupun tiada wakil di peringkat kabinet," ujar Dr. Lo' Lo' ketika dihubungi malaysiakini .
Beliau menjelaskan wanita PAS telah memberikan sepenuh komitmen dalam membawa suara-suara rakyat ke parlimen dan tugas ini dijalankan secara berterusan (tidak bermusim).
"Kita turut berkempen dan mengkaji segala akta bagi mempastikan kemenangan pihak Barisan Alternatif baru-baru ini," ujarnya lagi.
Wakil wanita tidak berasa satu kehilangan memandangkan keadaan pilihanraya yang begitu kotor dan tenat, wanita telah mengambil langkah sebagai tulang belakang parti itu. Kini tugas-tugas wakil parlimen telah menjangkau bidang tugas seorang perwakilan yang merupakan antara faktor wanita tidak digalakkan memikul tugas tersebut.
"Ahli Parlimen bertindak sebagai legislator (penggubal undang-undang), namun trend telah berubah apabila ahli parlimen telah bertindak sebagai pegawai kebajikan dan keselamatan sedangkan tugas itu berada di bawah tanggungjawab pihak berwajib seperti Majlis Daerah atau Jabatan Kerja Raya," jelas Dr. Lo' Lo' berhubung bidang tugas ahli parlimen itu.
Tambah beliau, tugas-tugas ini telah menjadi rutin dan kewajipan wakil rakyat dan tidak mengira masa dan waktu.
Bagaimanapun, pimpinan PAS tidak menolak kemungkinan sekiranya wanita diberi layanan yang munasabah dan keadaan tersebut dipulihkan, kehadiran wakil wanita dalam pilihanraya akan datang menjadi realiti, ujar Hatta.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.